Roketkini.com
KUALA LUMPUR: DAP mahu semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang memegang jawatan Menteri menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap skandal 1MDB, seperti yang telah dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri.
Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, para menteri perlu bertanggungjawab dalam hal yang melibatkan wang rakyat, dan bukan ghairah menunggu jawatan untuk parti masing-masing dalam rombakan kabinet yang bakal berlaku.
Katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun secara terbuka menyuarakan pendirian beliau terhadap skandal 1MDB sehingga terpaksa merujuk kepada The Edge, yang kemudiannya akhbar itu pula digantung permit selama tiga bulan.
Menurutnya, kenyataan Muhyiddin tentang 1MDB sewaktu merasmikan mesyuarat tahunan UMNO Cheras kelmarin telah pun menunjukkan bahawa menteri-menteri serta pimpinan BN memang tidak tahu atau kurang mengetahui apa yang sedang berlaku.
Pada masa yang sama, tambah beliau, ia juga menunjukkan bahawa menteri-menteri serta pimpinan BN tidak diberi penjelasan dan didedahkan dengan maklumat yang telus mengenai kedudukan sebenar 1MDB.
“Cuba sahaja bayangkan, jikalau menteri-menteri dan pucuk pimpinan negara tidak memahami dengan jelas akan apa yang sedang berlaku terhadap syarikat 1MDB serta tidak mampu menjawab keraguan rakyat terhadap hutang dan liabiliti 1MDB, pastilah di sana ada sesuatu yang tidak kena,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Rasah berkata, penggantungan The Edge dan The Edge Financial Daily tidak akan menyelesaikan keraguan rakyat terhadap skandal 1MDB.
“Memandangkan Timbalan Perdana Menteri telah menyatakan pendirian beliau, tibalah masa untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berdepan dengan semua rakyat Malaysia dan menjawab segala persoalan yang berkenaan dengan 1MDB,” ujar beliau.
Setakat ini, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab dengan tepat soalan-soalan tentang skandal 1MDB, termasuk dakwaan akhbar Wall Street Journal bahawa wang RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan