KUALA LUMPUR, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya mendedahkan identiti semua anggota penyiasat dalam pasukan petugas khas yang menyiasat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, langkah mendedahkan nama adalah untuk ‘melindungi’ dan membenarkan mereka melakukan siasatan tanpa rasa takut dan disokong rakyat.

Ibrahim mendakwa, anggota pasukan petugas khas asyik dipersalahkan dalam dakwaan dan khabar angin yang akan mengganggu proses siasatan ‘skandal’ 1MDB.

Beliau berkata banyak khabar angin berkenaan gabenor selepas satu blog misteri berkenaan pengguguran mantan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, merupakan bukti ‘gangguan’.

“Mereka yang menyiasat kini menjadi sasaran.

“Buat masa ini, sekiranya nama mereka didedahkan, apa-apa tindakan yang dikenakan ke atas anggota pasukan khas itu akan membawa kesan buruk ke atas kerajaan kerana ia akan menguatkan lagi persepsi bahawa semua tuduhan terhadap 1MDB dan Perdana Menteri adalah benar,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, penggantian tugas Abdul Gani dan empat anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dimasukkan sebagai anggota Kabinet, ketika siasatan 1MDB masih dijalankan adalah perkara yang tidak boleh berulang.

“Diharapkan Tan Sri Zeti dapat bertindak secepat mungkin.”

Semalam, Tuan Ibrahim dilaporkan sebagai berkata, kebebasan pasukan petugas khas untuk menyiasat kes 1MDB mungkin terjejas selepas Abdul Gani ditamatkan perkhidmatannya.

Oleh itu, beliau menyeru supaya Zeti, sebagai ketua, mendedahkan semua identiti penyiasat kepada umum.

“Ini akan membolehkan mereka dikenali umum dan mendapat sokongan orang ramai untuk menjalankan siasatan.

“Diharap, ia akan dapat menghalang mereka yang mempunyai kepentingan sendiri daripada masuk campur dengan urusan penyiasat ketika menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggesa supaya berhati-hati selepas satu blog misteri, yang muncul tidak lama selepas Muhyiddin digugurkan yang mendakwa Zeti Akhar berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan.

Tuan Ibrahim berkatra rekod kerja dan integriti Zeti sebagai gabenor BNM amat dikenali di peringkat antarabangsa, maka mana-mana cubaan untuk menghalangnya daripada melakukan siasatan terhadap 1MDB akan menguatkan lagi persepsi umum bahawa dana 1MDB memang benar-menar dialirkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Blog misteri berkenaan menuduh Zeti dan tokoh lain termasuk timbalan pesuruhjaya operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan setiausaha media mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Sufi Yusof antara yang didakwa melakukan ‘aktiviti yang boleh menjatuhkan demokrasi parlimen.’

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menolak dakwaan bahawa pihak polis kini memulakan siasatan terhadap Zeti.