Oleh: Azuan Ab Rahman
KUALA LUMPUR- Anggota Sekretariat #KitaLawan, Fariz Musa
berkata fokus untuk menumbangkan Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak
merupakan keutamaan kepada gerakan itu pada masa ini.
Katanya, kredibiliti Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia
Development berhad (1MBD) semakin diragui apabila merombak kabinet bagi
menyingkirkan timbalannya baru-baru ini.
“Kita
fokus dengan tema ‘Kita Lawan Najib’ kerana kita melihat apa yang
berlaku pada negara berpunca dari kelemahan pentadbiran Najib.
“Sebab itu untuk selamatkan negara, kita tidak ada cara lain selain
memastikan Najib ditangkap dan diambil tindakan undang-undang,” tambah
Fariz dalam sidang media hari ini.
Fariz turut mengingatkan pihak polis supaya tidak mengganggu himpunan
pada 29 Ogos ini. Tegasnya, rakyat hanya menuntut hak mereka dan bukan
musuh kepada negara.
Sementara itu, Adun Teja, Chan Li Kang berkata, rakyat Malaysia sudah tiada pilihan selain mendesak Najib melepaskan jawatan.
Katanya, rakyat sudah memberi peluang terlalu lama, namun Najib gagal
memperbaiki keadaan ekonomi, sebaliknya bertindak menggugurkan pemimpin
yang mengkritik pentadbirannya.
Sementara itu, Pemimpin Pemuda Gerakan Harapan Baru, Mohd Fakhrul
Razi Mohd Mokhtar berkata, rakyat Malaysia kini menuntut perubahan
menyeluruh terhadap kerajaan.
“Rakyat
bukan nak melihat perubahan kabinet, tetapi nak melihat perubahan
kerajaan. Bukan nak lihat timbalan perdana menteri baru, tetapi nak
melihat semua menteri baru termasuk Perdana Menteri yang baru dan
bertanggungjawab.
“Kita sebagai anak muda tiada masa untuk bertangguh atau hanya melihat, kita perlu memainkan peranan kita,” tambah beliau.
Mereka sebelum itu hadir dalam satu sidang media oleh #kitaLawan yang
mengumumkan sokongan kuat terhadap himpunan Bersih 4.0 yang dijadualkan
akan diadakan pada Ogos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan