MALAYSIAKINI
ULASAN Hari ini, rasmilah bahawa Tan
Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi timbalan perdana menteri dan
menteri pendidikan. Turut digugurkan, Datuk Seri Shafie Apdal dari
jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.
Sebaik selepas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,
kedua-duanya nampaknya menerima keputusan tersebut dengan reda dan
berlapang dada.
Walau tidak lagi bergelar menteri, Muhyiddin, 68, dan Shafie, 57, juga
cuba menunjukkan bahawa kritikan dan persoalan yang dilontarkan mereka
adalah “demi rakyat”.
Parti pembangkang kini berusaha untuk merisik mereka, namun kedua-duanya
masih setia dengan Umno. Maka, jalan apakah di hadapan mereka?
Sewaktu masih dalam Kabinet, mereka terikat dengan tanggungjawab bersama
sebagai anggota jemaah menteri seperti yang ditegaskan Najib. Namun,
kini tidak lagi.
Di dalam Umno, kedua-duanya masih kekal dalam jawatan yang dipilih secara demokratik.
Muhyiddin masih lagi timbalan presiden seperti kehendak perwakilan Umno
dalam pemilihan parti tahun 2013. Begitu juga Shafie, naib presiden.
Muhyiddin dan Shafie boleh memilih untuk berdiam diri dan mengaku tewas
di tangan Najib, atau mengotakan ikrar mereka agar “rakyat” dapat
mengetahui duduk perkara sebenar dalam isu 1MDB.
Fakta yang muncul dalam siasatan kes 1MDB setakat ini cukup
memeranjatkan. Tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin pada hari Isnin lalu
memberitahu, Pasukan Petugas Khas mempunyai cukup bukti untuk mendakwa
pihak yang terbabit dalam kes 1MDB.
Tanpa mendedahkan sumbernya, A Kadir mengaitkan maklumat daripada “bekas
pengawai tinggi perundangan” itu dengan siasatan ke atas akaun Najib,
seperti yang dilapor The Wall Street Journal.
Semalam, dengan tidak semena-mena, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani
Patail mendapati beliau tidak lagi menjawat jawatan itu. Alasannya,
beliau terpaksa diganti kerana faktor kesihatan.
Aneh sekali, seorang peguam negara yang menganggotai satu pasukan
penyiasat penting digugurkan secara mengejut, kata peguam kanan, Datuk S
Ambiga.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed
pula tidak dapat terus berada di jawatan tersebut kerana Najib
mengumumkan beliau dilantik ke jawatan timbalan menteri.
Melihat kepada perkembangan ini, Muhyiddin dan Shafie tidak mampu untuk
berdiam diri. Mereka perlu membuka mulut – sebesar yang boleh – seperti
mulut bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bak kata orang tua-tua, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Tiada apa sangat yang mereka perlu gusarkan.
Paling teruk, mereka mungkin dipecat dari jawatan dalam Umno, jika terus
mengkritik kerajaan dan membangkitkan persoalan mengenai 1MDB.
Tapi Najib akan hilang kawalan ke atas parti jika berbuat demikian,
seperti yang dihadapi Mahathir selepas memecat timbalannya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim pada 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan