HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Julai 2015

MT Umno dijangka bincang isu 1MDB Jumaat ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka dibincang secara "hati ke hati" dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat ini, kata ahli MT Datuk Irmohizam Ibrahim.
 
Beliau berkata semua pihak diminta menunggu sehingga mesyuarat tersebut yang dilihat platform terbaik untuk berbincang dengan objektif isu itu bagi memastikan Umno kekal relevan dalam kalangan rakyat.
 
"Kita dalam MT akan bincang hati ke hati secara usrah dan musyawarah walau ada perbezaan pendapat," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dekat Putrajaya, Isnin.
 
Irmohizam yang juga pengerusi LKIM mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan permasalahan negara terutama isu 1MDB supaya tidak menjadi beban kepada parti.
 
Sebelum mesyuarat itu, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan taklimat tertutup kepada kepimpinan parti peringkat bahagian terdiri daripada ketua, timbalan ketua bahagian, ketua wanita, ketua pemuda dan ketua puteri.
 
"Keterbukaan jelas terpancar pada presiden parti untuk menjelaskan (isu tersebut)," kata Irmohizam.
 
Katanya apa yang paling penting bagi Umno dan Barisan Nasional pada masa ini ialah menguruskan persepsi masyarakat.

Tiada ulasan: