HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2015

Tunggakan bil air cecah RM37.2 juta

Tunggakan bil air cecah RM37.2 juta
Zahari (tiga, kiri) meraikan sebahagian pesara Paip yang hadir ke majlis sambutan Aidilfitri, semalam.
 
 
KUANTAN- Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) kehilangan hasil kutipan mencecah RM37.2 juta ekoran sikap pengguna yang liat untuk menjelaskan tunggakan bil.

Daripada jumlah itu, RM18.2 juta melibatkan tunggakan semasa yang dicatatkan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini manakala RM19 juta daripada akaun tidak aktif yang sudah dipotong bekalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Paip, Datuk Zahari Md Isa berkata, daripada keseluruhan akaun pengguna, hanya 57,000 menjelaskan bil masing-masing manakala 47,000 akaun mengalami tunggakan.

Menurutnya, mengikut perkembangan, tunggakan bil air yang berlaku agak tinggi sekali gus menjejaskan usaha Paip untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

“Ada pengguna mengalami tunggakan bil hingga enam bulan dan ada juga yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan dan langsung tidak tampil menjelaskan bil yang tertunggak itu.

“Tunggakan bil itu sebahagian besarnya adalah dari pengguna domestik kecuali hanya beberapa kes melibatkan  industri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Aidilfitri dan meraikan pesara Paip di sini, semalam.

Zahari berkata, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak tujuh kes kecurian air dilaporkan berlaku menyebabkan kerugian RM289,000.

“Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 2014 yang mencatatkan hanya empat kes.

“Kebanyakan kes-kes kecurian air ini melibatkan aktiviti komersial termasuk pembinaan dan penternakan,” katanya.

Menurutnya, kes-kes tersebut sudah melalui proses pendakwaan  pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sementara itu Paip menerima 259 kes aduan berhubung masalah gangguan bekalan air sepanjang cuti perayaan Aidilfitri lalu di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, 78 kes melibatkan aduan berhubung paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna.

Zahari berkata, masalah itu dijangka berlaku memandangkan kebanyakan paip bekalan agak uzur dan kini dalam proses penantian secara berperingkat.

Menurutnya, bagi mengelak berlaku masalah paip pecah, pihaknya terpaksa mengawal tekanan air menyebabkan beberapa kawasan mengalami masalah gangguan bekalan akibat tekanan rendah.

“Masalah paip pecah ini berlaku di seluruh daerah namun yang paling banyak aduan diterima dari Kuantan, Pekan dan Maran,” katanya.

Beliau berkata, masalah gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini sepanjang cuti perayaan Aidilfitri lalu dikenal pasti berpunca daripada sungai yang menjadi punca air kepada beberapa buah loji mengalami kekeringan akibat cuaca panas.

“Antara loji yang terjejas termasuk Loji Air Sungai Klau, Raub, Loji Air Chini, Pekan dan Loji Bukit Goh, Kuantan menyebabkan penduduk beberapa kawasan merungut kerana terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan kurang selesa akibat  ketiadaan air.

“Masalah itu sebenarnya berlaku di luar jangkaan kami memandangkan persediaan sudah dilakukan  mengambil kira akan berlakunya peningkatan mendadak penggunaan air di musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, akibat punca air kering menyebabkan operasi loji terganggu sekali gus bekalan air yang disalurkan tidak cukup untuk menampung permintaan yang meningkat sehingga 300 peratus di sesetengah kawasan.

“Kita kenal pasti masalah yang timbul antaranya di Raub ekoran Loji Air Sungai Klau yang membekalkan sumber air kepada beberapa kampung terpaksa ditutup beberapa jam akibat air terlalu keruh bagaimanapun keadaan kembali pulih dan gangguan air yang berlaku dapat diatasi.

“Manakala masalah air yang berlaku di Felda Chini pada Aidilfitri lalu disebabkan bekalan air tidak mencukupi ekoran sungai yang menjadi punca air mengalami kekeringan begitu juga dengan kawasan sekitar Bukit Goh di Kuantan,” katanya.

Beliau berkata, gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Peramu juga berpunca daripada masalah sama menyebabkan bila berlaku air pasang, air laut memasuki sungai hingga ke kawasan pam menyebabkan air tidak dapat disedut.

“Bagi mengatasi masalah yang berlaku ketika itu, kita menyediakan 288 tangki statik di kawasan sering kali berlaku gangguan sebelum hari raya sebagai persediaan.

“Manakala bagi kawasan yang berlaku gangguan akibat faktor di luar jangkaan ini, kita menyediakan lori tangki untuk menghantar bekalan bagi mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk terlibat,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: