HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2015

Saya tak minta kerajaan 'spoonfeed' belia

Saya Zahra
Siti Azzahra Abd Razi 
 
 
KUALA LUMPUR - "Saya bukan minta kerajaan untuk spoonfeed (suap) orang muda di negara ini. Tetapi saya minta kerajaan tekankan kos sara hidup yang terlalu tinggi pada zaman sekarang," kata gadis viral, Siti Azzahra Abd Razi atau ‘Saya Zahra’.

Zahra, 24, percaya bahawa kombinasi kedudukan gaji asas yang rendah serta kos sara hidup meninggi dari semasa ke semasa, adalah satu kebimbangan yang perlu diambil serius.

"Kalau generasi sekarang pun susah nak survive (bertahan) , apa lagi dengan generasi yang akan datang.

"Dengan gaji RM1,800, macam mana nak sewa rumah, nak biaya kos pengangkutan, dan makanan. Dengan adanya pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), ia akan menambahkan lagi beban kepada rakyat," katanya dalam satu temubual bersama Sinar Online.

Pada 17 Jun 2014 lalu, Zahra menyampaikan ucapan mengenai kehidupan anak muda sepertinya di hadapan  bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Golf & Country Club dalam majlis 'Laporan Sosio-ekonomi Melayu: Menuju Negara Berpendapatan Tinggi'.

Video rakaman ucapannya itu telah dimuat naik di laman YouTube oleh MTEM Bersatu pada 7 Julai lalu; menyebabkan Zahra dikenali di laman sosial dalam masa yang singkat.

Menurut Zahra, walaupun berpelajaran tinggi, tetapi kehidupan kebanyakan golongan muda di Malaysia masih lagi seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sambil mempersoal apakah nasib graduan jika ini berlarutan?
 
Bercakap mengenai pelaksanaan GST, Zahra berkata, peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi nyata menekan golongan muda sepertinya.

“Secara jujurnya, selepas pelaksanaan GST, kita sudah boleh nampak perbezaan harga barangan dan makanan yang jelas meningkat. Di kedai mamak sekarang pun sudah dikenakan GST. Dahulu hanya perlu bajet duit sekitar RM5 sahaja, sekarang kos makan sudah lebih dari itu.

“Kalau dilihat secara kasar, mungkin cukai yang dikenakan ke atas sesuatu harga barangan, makanan atau perkhidmatan nampak sedikit, tetapi bila ia dihitung kira, ia memberi kesan kepada golongan yang berpendapatan seperti saya,” katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: