HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Julai 2015

Ramalan politik



Oleh Timmy Say


Pada 2008, ada sesiapa yang menjangka kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor bersama 4 negeri lain akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR)? Pada 2013, persepsi dibina seolah-olah BN akan jatuh, berapa antara kita yang menjangka BN boleh menang dengan selesa?

Siapa pula yang dapat menjangka Tan Sri Khalid Ibrahim akan dibuang sebagai menteri besar Selangor setelah Selangor menyapu 44 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan? Siapa yang menjangka ‘musuh’ Khalid yang menjadi pengganti beliau pada akhirnya?

Namun, ramalan politik tetap dibuat dari semasa ke semasa sebelum sesuatu peristiwa berlaku. Selepas ia berlaku, maka para pembuat ramalan politik akan bertukar pula menjadi pengulas politik menjelaskan mengapa sesuatu isu itu berlaku.

Sekiranya ramalan politik itu tepat, maka kredit diambil. Jika ia tidak tepat, maka akan dicarinya hujah untuk memperjelaskan apa yang berlaku.

Ramalan politik hari ini dibuat pelbagai watak termasuklah penganalisis politik profesional, cendekiawan, media dan juga ahli politik. Namun, tiada siapa yang pasti apakah ramalan politik itu akan benar-benar berlaku. Tapi, pastinya ramalan politik tidak dibuat begitu-begitu saja – semuanya mempunyai motifnya sendiri.

Ada ramalan politik yang dibuat untuk memberi nasihat dan diskusi akademik. Ada pula yang dibuat bertujuan untuk menakut-nakutkan pihak yang hendak ditumbangkannya. Ada pula yang dibuat kerana ego dan ada yang dibuat sekadar untuk melariskan jualan.

Perkara yang paling menarik ialah apabila ahli politik membuat ramalan politik. Tidak pernah lagi kedengaran ahli politik yang meramal kejatuhan diri sendiri tapi mereka hebat meramalkan kejatuhan orang lain.

Tidak pernah lagi kedengaran ahli politik yang meramal kejatuhan parti sendiri tapi mereka hebat meramalkan hari kiamat parti lain.

Apabila ahli politik membuat ramalan politik, percayalah majoritinya dibuat dengan tujuan politik bagi memukul pihak lawan atau menaikkan diri sendiri atau pihak yang ingin dibantunya.

Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan habis dalam waktu terdekat kerana isu 1MDB.

Apabila ditanya, apakah Najib akan jatuh di Pekan? Jawabnya tidak. Apakah Umno akan menjatuhkan Najib? Jawabnya pun tidak. Apakah BN akan mendesak Najib untuk digantikan? Jawabnya pun tidak.

Apakah peguam negara akan mengambil tindakan mengheret Najib ke mahkamah atas penyelewengan 1MDB? Jawabnya ada di hati.

Ditanya lebih mendalam lagi, apakah ada pengganti yang sesuai untuk Najib? Jawabnya pun tidak.
Meskipun begitu, ramai yang masih menjual ramalan tersebut. Namun, ingatlah jumlah pembeli sesuatu ramalan bukanlah penentu satu-satu ramalan akan menjadi benar atau tidak.

Kini, ada seorang pemimpin DAP dan bekas pimpinan PAS yang meramalkan PAS akan kalah teruk di PRU14. Jika begitu, siapa yang akan menang besar kalau PAS tewas? Siapa yang akan menang jika pertandingan tiga penjuru menjelma semula seperti zaman sebelum 1998? Apakah mereka kini mengambil sikap antara Umno dan PAS, mereka lebih rela membiarkan Umno menang berbanding PAS? Jika begitu, siapa yang mendokong Umno sebenarnya pada akhirnya sedangkan mulut mereka asyik menuduh PAS ingin bersama Umno?

Renungkan kembali ramalan politik berjudul 16 September, negara akan bankrap, Langkah Kajang, Selangor bakal mempunyai menteri besar wanita yang pertama, Najib bakal tumbang, PR terus kekal, seruan jangan menubuhkan parti Islam yang kedua dan sebagainya yang dicanangkan kepada rakyat sehingga kini – apakah yang diramal sudah menjadi kenyataan atau sebaliknya?

Semua orang berhak membuat ramalan politik. Hakikatnya, sepertimana tiada manusia yang boleh menjangkakan kematiannya, begitu jugalah nasib ramalan politik yang dibuat manusia, terutamanya daripada mereka bergelar ahli politik.

Jika ada yang sudi menjawab: “Semuanya dalam ilmu Allah” – itu sudah dikira sangat jujur berbanding orang lain kerana jawapan itu adalah paling tepat, tiada unsur menipu dan sesuai untuk mengekalkan minda dalam keadaan rasional.

Usah menjadi catur kepada orang politik. Rakyat kan bos?

Tiada ulasan: