HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Julai 2015

Muhyiddin Nafi Buat Perancangan Dengan Mukhriz

 
 
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan mempunyai agenda tersembunyi mahupun perancangan tertentu dengan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sehubungan itu beliau berharap kehadiran anak Tun Dr Mahathir Mohamad ke kediamannya selepas digugurkan daripada Kabinet tidak disalah erti.

"Ramai datang ziarah saya termasuk Datuk Seri Mukhriz, itu biasa. Bukan ada apa-apa perancangan.

"Sekadar nyatakan simpati dan ambil berat, itu adalah lumrah. Jangan ada buruk sangka. Kalau kawan kamu kena macam saya, saya fikir anda akan ziarah juga," katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara di sini, Rabu.

Mukhriz hadir ke kediaman Muhyiddin pada Selasa malam dan meluangkan masa lebih dua jam.

Rombakan kabinet seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa menyaksikan Naib Presiden Umno yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, menggantikan Muhyiddin.

Sementara itu ditanya sama ada beliau akan bersama Dr Mahathir khususnya bagi memberi tekanan berhubung dakwaan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhyiddin berkata perkara itu tidak berbangkit.

Jelasnya isu pokok yang harus diberi perhatian ialah bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

"Sama ada saya nak bersama Tun Mahathir...bagi saya itu tak berapa penting. Bukan sahaja beliau, rakyat terbanyak juga mahu supaya kita berbuat perkara yang difikirkan perlu untuk negara.

"Tapi pandangan Dr Mahathir tak boleh kita ketepikan. Beliau ada pandangan, beliau masih lagi cerdas untuk beri pandangan. Tapi bagi kita...kita harus melihat mana yang sesuai untuk bantu kerajaan dan parti, itu perlu dilaksanakan.

"Bagi saya kita harus bersifat terbuka, jangan pandang serong pandangan sesiapun termasuk Dr Mahathir asalkan niat dan tujuannya untuk negara," katanya.

Tiada ulasan: