HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2015

DAP desak AG sahkan status kertas pertuduhan PM

Tony Pua
Tony Pua


KUALA LUMPUR - DAP mendesak Peguam Negara yang baharu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan kesahihan kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang  disiarkan oleh Sarawak Report sekiranya palsu.

Setiausaha Publisitinya, Tony Pua berkata sekiranya benar dokumen itu "dibocorkan" oleh penjawat awam dan ia datang pejabat Peguam Negara, beliau harus mengesahkannya dengan segera.

"Sekarang dia kata ada berlaku jenayah kebocoran dokumen, yang mana satu betul, sama ada kebocoran itu datang dari pejabat Peguam Negara atau tiada langsung.

"Saya rasa Peguam Negara baharu perlu sahkan perkara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Apandi tengah malam semalam bahawa sesiapa yang didapati bersalah dalam penyebaran kertas pertuduhan itu akan diambil tindakan undang-undang.

[ARTIKEL BERKAITAN: AG nafi draf kertas pertuduhan terhadap PM wujud]

Menurut kertas pertuduhan itu yang didakwa disediakan oleh bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail, Perdana Menteri akan didakwa atas tuduhan melakukan rasuah dan pecah amanah.

Ini dikatakan berkaitan dengan pemindahan RM27 juta oleh SRC International, yang ketika itu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ke dalam akaun bank peribadi milik Najib.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr Aziz Bari pula mencabar Mohamed Apandi supaya mengenakan tindakan terhadap penjawat awam yang terbabit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

"Jika betul ada berlaku kebocoran dokumen, tindakan boleh diambil di bawah OSA kerana penjawat awam, mereka ini tertakluk kepada perkara ini.

"Jika Peguam Negara baharu mengambil serius perkara ini, maka tidak boleh buang masa dan kena ambil tindakan segera," katanya lagi.


Tiada ulasan: