KUCHING, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baharu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menyifatkan barisan anggota kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Selasa lepas sebagai yang seimbang dan mantap.

 

“Saya percaya Perdana Menteri dalam rombakan kabinetnya mahu memberi fokus untuk mempunyai menteri-menteri yang sehaluan dengan pemikiran beliau yang satu suara dalam banyak isu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, petang ini.

Ini sebenarnya sangat penting untuk Perdana Menteri dan untuk negara kerana prinsip kebertanggungjawaban bersama sangat penting untuk pentadbiran mana-mana negara, khususnya untuk negara-negara dalam Komanwel,” tambahnya.

Beliau berkata anggota kabinet tidak boleh berbeza pendapat dan jika ada pun perbezaan pendapat mengenai dasar-dasar yang telah diluluskan oleh kerajaan ia seharusnya dibincang secara tertutup bukannya di khalayak ramai.

“Jadi inilah kumpulan yang dicari oleh Perdana Menteri (Najib) dan kedua saya melihat campuran antara anggota kabinet yang lama dan yang baharu amat seimbang sekali dan saya cukup yakin setiap individu dalam kabinet boleh menyumbang kepada usaha secara kolektif yang direncana oleh pihak kabinet,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata sudah menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk melakukan rombakan kabinetnya dan melantik anggota kabinetnya tanpa boleh dicabar atau diganggu-gugat.

Kepada soalan lain, Wan Junaidi tidak bersetuju bahawa rombakan kabinet kali ini sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum yang lebih awal.

“Setiap kabinet yang dibentuk oleh mana-mana Perdana Menteri pasti dia mahu ia berfungsi dan melaksanakan apa sahaja keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan dengan teratur dan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

Katanya lagi, setiap ahli kabinet boleh bercakap dalam satu suara, khususnya dalam keadaan kurang menentu sekarang ini.

“Saya percaya pembentukan kabinet yang baru ini bukan merancang pilihan raya dalam masa terdekat,” kata beliau.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata kementerian yang diterajui beliau merupakan sebuah kementerian yang tidak kurang pentingnya.

Katanya, sebelum ini kementerian berkenaan diterajui oleh menteri-menteri yang kanan termasuk ketua menteri Sarawak sekarang Tan Sri Adenan Satem, Datuk Douglas Uggah Embas dan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

Sebaliknya, menurut beliau ia adalah sebuah kementerian yang sangat penting dan mempunyai agenda yang sangat penting dalam soal mentadbir urus sumber alam dan alam sekitar negara.

Menurut Wan Junadi, cabaran utama kementerian beliau ialah bagaimana untuk menangani masalah banjir dan mentadbir urus flora dan fauna negara.

Sebelum itu Wan Junaidi diberi sambutan oleh penyokong-penyokongnya setiba beliau dan isteri di LTAK kira-kira pukul 5.30 petang.