HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Julai 2015

Undang-undang jenayah Islam bakal dilaksana

Prof Emeritus Datuk Mahmood Zuhdi Abd Majid
 
 
PETALING JAYA - Undang-undang jenayah Islam, diyat akan dibawa kepada pihak kerajaan untuk membolehkan hukuman itu dilaksanakan di negara ini.
 
Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, perkara itu akan dibawa secepat mungkin selepas perbincangan dalam jawatankuasa yang ditubuhkan MDN berkaitan diyat, selesai.
 
Menurutnya, diyat merupakan satu bentuk pampasan yang akan diberikan oleh pelaku kepada mangsa dalam kes kematian ataupun kecederaan yang dilakukan tanpa sengaja.
 
“Kita lihat dalam undang-undang sekarang, apabila berlaku kemalangan, pampasan yang dibayar oleh pihak insurans adalah sedikit dan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mangsa.
 
“Manakala individu yang menyebabkan kemalangan itu pula akan masuk penjara. Sedangkan dalam diyat, pesalah hanya perlu membayar pampasan dan tidak akan masuk penjara (jika kemalangan terjadi tanpa sengaja),”katanya dalam sidang media selepas persidangan meja bulat tentang diyat sebagai satu agenda pelaksanaan undang-undang jenayah Islam, semalam.
 
Menurutnya, apabila diyat dilaksanakan, keluarga mangsa dapat meneruskan hidup dan  tertegaknya konsep keadilan kepada individu yang tidak sengaja menyebabkan kemalangan itu.
 
“Dari segi pembayaran pula, bukan pelaku yang akan membayarnya, sebaliknya ia terpulang kepada pihak insurans. Perkara tersebut (berkaitan pembayaran dan dana) akan dikaji dahulu dalam jawatankuasa,”katanya.
 
Kata Mahmood Zuhdi, jawatankuasa itu akan terdiri daripada pensyarah universiti, peguam, pemikir Islam dan pengamal perbankan dan takaful.
 
“Saya yakin hukuman ini akan berjaya dilaksanakan oleh kerajaan sedia ada dan sebelum PRU14 akan datang,”katanya.
 
Jelasnya, antara negara yang sudah melaksanakan hukum diyat ini ialah seperti Arab Saudi dan Iran.
 
“Namun, kalau dilihat mereka melaksanakannya dengan agak konservatif. Jadi kita mahu Malaysia jadi contoh pelaksanaan diyat yang terbaik,”katanya.
 
Beliau turut yakin masyarakat bukan Islam akan turut menyokong hukum diyat ini.
 
“Diyat ini memberikan keuntungan kepada semua pihak terutama kepada mangsa ataupun kepada individu yang menyebabkan kemalangan.
 
“Saya yakin masyarakat bukan Islam menyambut baik diyat. Ia juga akan mengurangkan rasa prejudis orang bukan Islam terhadap hukum Islam,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: