MSO
Petang ini Najib Razak akan mengadakan pertemuan tertutup dengan
Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang mana ia dilihat sebagai
penjelasan terperinci berhubungan tindakan mengejut yang dibuatnya
memecat Muhyuddin Yassin sebagai TPM Selesa lalu.
Walaupun pengerusi perhubungan negeri-negeri sudah menerima hakikat yang
berlaku lebih 72 jam lalu, tetapi ada yang berasakan tindakan Najib itu
sebagai janggal. Makanya Najib perlu memberi justifikasi atas
tindakannya.
Pertemuan petang ini juga dilihat sebagai langkah susulan sebagai
menghadapi sebarang kemungkinan serangan balas daripada Muhyiddin dan
penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan Najib itu. Apa
ditunggu Najib ialah gerak balas dari Dr Mahathir Mohamad. Sehingga kini
Dr Mahathir masih belum berbuat apa-apa ekoran pemecatan Muhyuddin itu.
Walaupun Muhyuddin mengatakan beliau reda dengan tindakan itu, tetapi ia
bukan satu kenyataan yang iklhas dan Najib boleh menerima ia sebagai
jawaban Muhyiddin yang tidak perlu dipertikaikan. Kebimbangan bagi Najib
juga kerana bukan sahaja dia terpaksa berhadapan dengan penyokong bekas
TPM itu tetapi penyokong Shafei Afdal juga yang turut sama dipecat.
Ketumbukan Muhyiddin akan menjadi lebih besar kalau ada gabungan dengan
armada perang dari Shafei Afdal.
Kenyataan daripada beberapa ketua bahagian dan juga individu yang
mezahirkan rasa terkejut dan bersimpati kepada Muhyiddin tentunya
ditafsirkan oleh penasihat Najib ia sebagai protes kepada perdana
menteri itu.
Apa lagi ada beberapa ketua bahagian yang secara terang-terangan mahukan
Muhyiddin merasmikan mesyuarat bahagian mereka menunjukkan simpati
kepada Muhyiddin. Apa diharapkan oleh Najib, sepatutnya semua bahagian
Umno yang mengundang Muhyiddin merasmikan mesyuarat bahagian
masing-masing dibatalkan apabila beliau (Muhyiddin) disingkir.
Dari kaca mata politik penyingkiran Muhyiddin sebagai TPM, secara
automatik ia juga merupakan penyingkiran sebagai timbalan presiden. Ke
situlah maksud sebenarnya. Tetapi disebabkan jawatan itu dibuat dalam
perhimpunan agung Umno, maka ia perlu diuruskan oleh perwakilan.
Perwakilan berhak dan mempunyai mandat menentukannya.
Situasi ini sedikit meresahkan Najib dan ia menyebabkan PM itu dan
kabinetnya kini (Umno) tidak begitu licin untuk menguruskan parti. Yang
pasti Najib kini berhadapan dengan situasi merungsing dan
menyerabutkannya. Bayangan hitam hasil tindakannya itu sedang
mengejarnya. Najib kini sangat terganggu. Justeru hendak tidak hendak
Muhyiddin harus disingkirkan juga dari jawatan itu.
Ada dua kaedah sahaja untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai timbalan
presiden Umno, pertama menerusi perhimpunan agung khas, kedua dengan
memecat Muhyiddin sebagai ahli Umno. Najib boleh mengguna pakai teori
kejam Dr Mahathir menyingkirkan Anwar 17 tahun lalu untuk menamatkan
krisis beliau dengan Muhyiddin dalam Umno kini. Tetapi apakah Najib
sedia berhadapan dengan demonstrasi mendesaknya turun?
Mungkin para penasihat Najib sedang mengkaji kesan dan implikasi kepada
apa-apa tindakan yang akan diambil nanti. Terbaik bagi Najib untuk
menyelesai dan menyelamatkan kedudukan dari tidak diganggu Muhyiddin
ialah apabila Muhyiddin tidak lagi menjadi timbalan presiden. Dengan
mengekalkan jawatan itu Muhyiddin masih boleh bersuara atas kapasiti
jawatan itu.
Apakah akhirnya Najib akan memecat Muhyiddin? Memecat tanpa ada
kesalahan besar satu kesilapan dan ia akan membakar diri Najib seperti
mana yang menimpa Dr Mahathir. Dan waktu ini Muhyiddin pula sangat
berhati-hati bagi mengelakkan beliau dianggap melakukan apa-apa
kesalahan sehingga dipecat dari Umno.
Pertemuan Najib petang ini dengan ketua perhubungan adalah dalam rangka
mencari penyelesaian dan jawaban serta akal fikiran macam mana untuk
berhadapan dengan gelombang yang terwujud ekoran pemecatan Muhyiddin
itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan