shahbudindotcom
Walaupun
sudah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin masih
lagi merupakan Timbalan Presiden UMNO sehinggalah pemilihan UMNO yang
akan datang.
Oleh
kerana pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada 2016 telah
ditangguhkan selama 18 bulan lagi untuk memberi laluan kepada pengukuhan
parti dan pilihanraya ke 14 terlebih dahulu, ia dijangka hanya akan
diadakan pada tahun 2018.
Ini
bermakna, meskipun tanpa jawatan dalam kerajaan, Muhyiddin masih lagi
merupakan pemimpin nombor dua dalam UMNO sehinggalah tahun 2018 akan
datang nanti.
Ia
bukan saja bermakna Najib sebagai Presiden UMNO terpaksa duduk
bersebelahan dengan Muhyiddin setiap sebulan sekali dalam mesyuarat
Majlis Tertinggi parti, malah tidak boleh mengelak daripada duduk
bersama di pentas utama ketika Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan
setiap tahun dengan disaksikan oleh para perwakilan daripada seluruh
negara.
Termasuk
tahun ini sehinggalah pemilihan 2018 nanti, bermakna sekurang-kurangnya
ada empat kali lagi Perhimpunan Agung UMNO yang perlu dilalui secara
bersama oleh Najib dan Muhyiddin dan ia sekaligus memberi erti
kedua-duanya akan terus dalam dilema "mata berpandangan, budi kedapatan"
dalam acara tahunan itu.
Lebih
daripada itu, sebagai Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin juga masih
perlu menunaikan tanggungjawab merasmikan Perhimpunan Agung Wanita,
Pemuda dan Puteri pada setiap tahun.
Bagi
Muhyiddin, beliau mungkin tiada masalah menghadiri, baik mesyuarat
bulanan MT UMNO mahu pun Perhimpunan Agung tahunan parti kerana sebagai
orang yang sudah dipecat, itulah peluang untuk terus menampilkan dirinya
sambil meraih sisa-sisa simpati daripada mereka yang menyaksikan
kehadirannya, tetapi ia tentu saja berlainan bagi Najib.
Setelah
menendang timbalannya itu daripada jawatan kerajaan hanya kerana isu
1MDB dan demi menyelamatkan kerusi Perdana Menterinya, Najib barangkali
tidak memerlukan lagi Muhyiddin untuk terus berada di sebelahnya dalam
apa jua urusan parti selepas ini.
Najib
tentu saja lebih selesa untuk duduk, bercakap, senyum mahu pun ketawa
dalam mesyuarat, perhimpunan agung ataupun dalam apa-apa program parti
jika kelibat Muhyiddin tiada lagi di sisinya.
Tambahan
lagi, beliau kini sudah ada Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana
Menterinya yang baru. Setelah mengenepikannya daripada kerajaan, Najib
juga tidak memerlukan lagi Muhyiddin sebagai orang nombor duanya dalam
parti.
Lalu,
apa nasib Muhyiddin dalam UMNO sebenarnya meskipun kedudukannya sebagai
Timbalan Presiden adalah dipilih dan bukannya dilantik?
Apakah
Najib sanggup membiarkan saja Muhyiddin terus berada dalam parti
sebagai orang nombor dua sehingga tahun 2018 nanti atau bakal
"menendangnya" sekali lagi?
Kebetulan
pada Jumaat, 31 Julai ini akan diadakan mesyuarat bulanan MT UMNO. Ia
bukan saja akan menjadi mesyuarat MT UMNO yang pertama dihadiri oleh
Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO tanpa jawatan dalam kerajaan,
bahkan mungkin yang terakhir juga baginya.
Tidak
lama selepas dipecat semalam, berlegar desas-desus bahawa ucapannya
ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras pada Ahad
lalu sedang dikaji dan dianaliasa oleh pihak tertentu dalam UMNO untuk
mencari kemungkinan ia turut melanggar disiplin parti.
Jika
tegurannya dalam perasmian itu berkenaan Perdana Menteri dan 1MDB
telah menjadi asas pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menterti,
sebenarnya tidak mustahil ia juga boleh dijadikan hujah untuk menuduh
Muhyiddin sebagai telah mencemar serta memburuk-burukkan nama baik parti
dan juga Presidennya secara terbuka kepada ahli-ahli UMNO sendiri.
Dengan
itu, sekiranya usul pemecatan Muhyiddin dibawa dalam mesyuarat MT UMNO
Jumaat ini, ia pasti akan diluluskan dengan majoriti yang selesa
berikutan "mood" Ahli-Ahli MT ketika ini lebih kepada menunjukkan
sokongan terhadap Najib berikutan rombakan kabinet yang baru saja
berlaku.
Melalui pemecatan itu nanti, maka tergugurlah jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sedang disandang oleh Muhyiddin itu.
Sekiranya
tindakan tidak dilakukan terhadap Muhyiddin Jumaat ini, pemecatannya
juga sedang menanti selepas ini jika beliau aktif mengeluarkan kenyataan
mengenai 1MDB atau turut serta dalam program-program bersama dengan Tun
Mahathir Mohamad.
Meskipun
Najib sering mengatakan tentang keterbukaan dan sedia dikritik, tetapi
beliau pasti tidak akan membiarkan Muhyiddin boleh sebebasnya
menyusahkannya atau mengkritiknya dalam menguruskan parti dan kerajaan
tanpa mengambil apa-apa tindakan.
Lagi
pula, membiarkan Muhyiddin lepas bebas bercakap apa saja sehingga tahun
2018 adalah tindakan yang boleh merugikan dan menyebabkan
ketidakselesaan kepada Najib sendiri.
Kecuali
ucapannya di Cheras Ahad lalu, Muhyiddin hanya boleh selamat dan mampu
bertahan sehingga beliau berundur sendiri pada pemilihan 2018 nanti
sekiranya beliau dapat mengawal perasaan dengan berdiam diri dan
mengelakkan daripada berkolaborasi sama sekali dengan gerakan Tun
Mahathir.
Itu
pun jika Muhyiddin sedia memencilkan dirinya dan sanggup keluar hanya
sebulan sekali untuk menghadiri mesyuarat MT UMNO atau setahun sekali
untuk Perhimpunan Agung UMNO.
Soalnya, sanggupkah Muhyiddin?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan