SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno petang tadi dilaporkan mengadakan pertemuan secara tertutup di kediaman rasminya di Seri Perdana.
Memetik laporan Astro Awani, pertemuan itu dipercayai melibatkan pimpinan Umno negeri termasuk menteri-menteri besar dan menteri.
“Beberapa kenderaan dengan nombor plat Menteri Besar kelihatan memasuki kediaman rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 5 petang tadi,” katanya.
Semalam, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dijadualkan berlangsung di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini telah dibatalkan tanpa memberikan sebab pembatalan tersebut.
Pembatalan itu turut melibatkan Majlis Taklimat Tertutup Isu-Isu Semasa oleh YAB Presiden dan majlis sambutan Hari Raya yang dijadualkan diadakan pada hari yang sama.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim turut ditemui sebelum memasuki pintu kediaman Najib.
Ditanya pemberita apa yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, beliau hanya menjawab, “macam-macam.”
Difahamkan isu rombakan Kabinet yang menyaksikan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dan pelantikan Peguam Negara yang baharu akan dibincangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan