HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2015

Zahid jumpa Dr M lepas dilantik TPM


Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama


SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan kunjungan hormat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas dilantik ke jawatan itu kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, beliau pernah melakukan kunjungan hormat kepada bekas Perdana Menteri itu sebaik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya menemui Dr Mahathir di kediaman beliau. Saya hubungi beliau dua kali sebelum itu berkaitan hal lain tetapi pertemuan itu sebagai tanda hormat dan memohon nasihat dan panduan daripadanya.

"Beliau begitu berterus-terang dan saya hormati perbezaan pendapatnya. Rasanya beliau hargai kunjungan saya itu," katanya memetik laporan Mstar hari ini.

Ahmad Zahid dilantik jawatan berkenaan pada 28 Julai lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rombakan kabinet.

Selain Muhyiddin, antara yang turut digugurkan adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Dalam perkembangan berlainan, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno tetap akan menjemput Dr Mahathir walaupun berterusan mengkritik kepimpinan parti.

"Dr Mahathir tetap dijemput untuk menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 10 Disember ini. Parti menghormati Dr Mahathir sebagai bekas presiden dan pemimpin negara ini serta berharap beliau dapat menghadiri majlis itu.

"Saya pasti surat jemputan akan diedarkan dalam masa terdekat, tetapi sama ada beliau menerima jemputan itu atau tidak ia terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.

"Majoriti ahli Umno masih menghargai beliau tetapi pada masa sama masih ada jurang antara menghormatinya dan menerima pandangannya," katanya.

Sejak lebih setahun, hubungan antara Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam keadaan dingin terutama apabila beliau menuntut supaya Perdana Menteri meletak jawatan susulan isu 1MDB.

Ahmad Zahid sendiri turut menjadi mangsa Dr Mahathir dalam pergolakan politik negara pada 1990-an.

Perhimpunan tahunan kali ini adalah yang pertama buat Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, hubungannya dengan Muhyiddin adalah baik dan beliau tidak menjangka akan adanya perubahan menjelang PAU nanti.

Kali ini, Muhyiddin tidak akan berucap merasmikan persidangan tiga sayap parti pada 8 Disember ini, sebalik ketua sayap masing-masing yang akan merasmikan mesyuarat mereka.

Ditanya sama ada Muhyiddin akan menggulung ucapan sebagai Timbalan Presiden, Ahmad Zahid berkata, Majlis Tertinggi akan memutuskan perkara itu.


Tiada ulasan: