HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2015

Nurul Izzah perlu beri justifikasi pertemuan

SINAR HARIAN


Nurul Izzah Anwar, Jacel Kiram
Gambar Nurul Izzah bersama Jacel Kiram yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar perlu memberi justifikasi jelas berhubung pertemuannya dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013, demikian pandangan beberapa penganalisis politik.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata Naib Presiden PKR itu sendiri dengan sengaja mengundang persepsi buruk masyarakat apabila mengadakan pertemuan dengan Jacel, pada 9 November lepas.

"Gelaran pengkhianat negara itu timbul ekoran daripada pertemuan berkenaan.

"Apakah dengan memfailkan saman terhadap individu-individu yang didakwa  kononnya memfitnah beliau dapat melenyapkan persepsi negatif masyarakat terhadapnya? Sebagai seorang ahli politik, beliau seharusnya lebih maklum bahawa persepsi merupakan elemen penting yang membawa kepada penilaian masyarakat terhadap seseorang pemimpin," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis lepas, Nurul Izzah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan beliau seorang pengkhianat selepas bergambar dengan 'puteri Sulu' itu.

Dakwaan itu timbul selepas gambar pertemuan mereka tersebar menerusi media sosial.

Melalui pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa Khalid pada sidang media di Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman pada 22 November telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah, yang membawa maksud bahawa beliau adalah dalang di sebalik serangan dan pencerobohan oleh Tentera Sulu di Sabah pada 2013.

Nurul Izzah turut mendakwa Ismail Sabri melalui sidang media selepas satu majlis di Bera, Pahang, mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah yang dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau merupakan penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata Nurul Izzah sepatutnya berwaspada dalam setiap tindak-tanduknya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat.

"Walau apa pun niat beliau pada perjumpaan itu, apa yang kekal dalam fikiran rakyat ialah Jacel merupakan anak bekas ketua kumpulan pengganas (Sulu) (Jamalul Kiram III). Pencerobohan (di Lahad Datu) mengakibatkan anggota keselamatan kita terkorban dan rakyat Sabah hidup dalam kesengsaraan, sememangnya tragedi hitam buat negara.

"Dalam keghairahan mengadakan hubungan dengan pihak luar termasuklah kuasa antarabangsa bagi meraih sokongan mahupun simpati, Nurul Izzah serta pemimpin pembangkang yang lain perlu lebih berjaga-jaga agar tidak sampai ke tahap mengenepikan kepentingan negara," tegasnya.

Sementara itu, pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata tindakan Nurul Izzah memfailkan saman menunjukkan ketidakmatangan beliau sebagai seorang pemimpin.

"Jika Nurul Izzah benar-benar seorang yang demokratik serta jujur dalam perjuangan politiknya, beliau seharusnya bersifat terbuka menerima teguran dan kritikan.

"Mengapa memilih mahkamah sebagai platform untuk menyekat atau menutup sesuatu isu yang ditimbulkannya sendiri? Ahli politik tidak seharusnya membiasakan diri menggunakan pendekatan saman-menyaman sebagai budaya dalam kerjaya mereka kerana ia akan memberi imej buruk terhadap kredibiliti mereka sebagai pemimpin," katanya.

Berpendapat tindakan keterlaluan Nurul Izzah itu bukan sahaja mencerminkan dasar pembangkang yang tidak patriotik dan pro-Malaysia, ia bahkan boleh disalahertikan oleh individu luar sebagai pengiktirafan terhadap kumpulan pengganas yang menyerang negara ini.

Beliau berkata pertemuan itu juga dikhuatiri mengundang agenda politik keterlaluan parti pembangkang, sehingga boleh menggangu-gugat kedaulatan Malaysia.

Sehingga Selasa lepas, polis menerima lebih 90 laporan di seluruh negara berhubung pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram.

Pertemuan Nurul Izzah dan Jacel itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga Dun Sabah pada Khamis meluluskan usul menghalang beliau dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki negeri itu. - Bernama


Tiada ulasan: