GEORGE TOWN,  Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, dia tidak kisah dikritik berhubung sebarang kesilapan samada yang dilakukannya atau DAP, tidak seperti Barisan Nasional (BN).


“Ok untuk dikritik dan kami menerima kritikan dengan hati terbuka kerana kita pun hidup berpaksikan sistem demokrasi DAP.

“Sebelum ini, saya mendengar pandangan mengenai saya dan parti yang dibangkitkan delegasi, Shamser Singh Thind.

“Tetapi tidak apa.. dia akan bekerja selepas ini. Mereka yang bekerja boleh mengkritik dan ia dilakukan dengan betul dan saya menerima dan menghormati pandangan setiap mereka,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di Hotel Equatorial, dekat sini, hari ini.

Lim berkata, apa yang membezakan antara DAP dan BN adalah DAP akan mengakui kesilapan, tidak seperti BN yang akan melakukan apa saja untuk melindungi kesilapan mereka.

“Kita berani berdepan media kerana tiada apa yang kita sembunyikan,” katanya lagi.

Sebelum itu, seorang delegasi dari Chai Peng Park, Shamser Singh Thind mencadangkan supaya jawatan Ketua Menteri diberikan kepada Pengerusi DAP negeri dan patut disandang anak tempatan.

Beliau turut mencadangkan supaya proses pemilihan ahli jawatankuasa ditukar kerana ia tidak memberikan kuasa penuh kepada akar umbi untuk memilij pemimpin mereka seperti dalam pemilihan DAP baru-baru ini.

Pagi tadi, sekumpulan individu yang tampil menunjukkan sokongan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebelum konvensyen bermula dan berkata beliau yang sepatutnya berhak menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Isu supaya Chow menggantikan Lim sebagai Ketua Menteri timbul sejak beberapa minggu lalu.

Hari ini, 48 pemimpin negeri dan akar umbi berlumba-lumba merebut 15 jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Negeri dengan kehadiran 876 delegasi dari pelbagai bahagian untuk membuang undi.