Parti Amanah Negara (AMANAH) membantah sikap PAS yang didakwa "memperkudakan" PKR dengan meminta parti itu menghalang AMANAH bertanding dalam pilihan raya umum akan datang khususnya melibatkan kerusi PAS melawan Umno.
Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata tindakan PAS itu dianggap sebagai "parokial, tertutup dan anti-demokratik PAS" yang menjadi antara sebab mengapa parti Islam baru itu ditubuhkan.
"PAS perlu difahamkan, semua pihak termasuk AMANAH, berhak untuk bertanding di mana sahaja ia ingin bertanding," kata Khalid dalam satu kenyataannya dari Jeddah.
"Kebersamaan AMANAH dengan Pakatan Harapan bukan kerana AMANAH tidak mampu bersendirian tetapi atas kesedaran akan tangung-jawabnya terhadap rakyat yang ingin melihat kekuatan semua parti pembangkang digemblengkan dalam usaha bersama untuk menjatuhkan Umno BN," katanya lagi.
MP Shah Alam itu mengalu-alukan kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali semalam bahawa hanya satu lawan satu dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mengulas kenyataan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang menuntut parti itu tidak membenarkan AMANAH untuk bertanding dalam pilihan raya itu.
Khalid berkata pihaknya mengesyorkan supaya semua pihak menyokong penuh usaha menjamin satu lawan satu pada PRU ke-14 sambil mengiktiraf kekuatan dan hak masing-masing melalui perundingan dan perbincangan demi memenuhi keinginan rakyat yang mahu bebas dari pemerintahan Umno BN.
"Rakyat mesti diyakinkan bahawa hanya Pakatan Harapan alternatif terbaik bagi menggantikan Umno dan BN dalam PRU ke-14 kelak.
"AMANAH, sebagai parti yang bersikap terbuka dan inklusif, sentiasa bersedia untuk berbincang dengan semua pihak yang berkaitan, khususnya melalui Pakatan Harapan, untuk menentukan kaedah satu lawan satu tercapai," katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Khalid turut mencadangkan supaya diwujudkan perjanjian satu lawan satu dan perjanjian untuk tidak berunding dengan Umno/BN oleh mana-mana parti secara bersendirian setelah menang.
"Kemenangan ini mesti dilihat sebagai kemenangan hasil usaha bersama dan oleh itu apa-apa usaha untuk berunding dengan pihak lawan secara bersendirian setelah menang adalah pengkhianatan yang nyata.
"AMANAH berkeyakinan bahawa semua parti yang ingin melihat berakhirnya era pemerintahan Umno BN akan bersama dalam Pakatan Harapan atau paling kurang mempunyai perjanjian kerjasama dengannya untuk menjamin satu lawan satu.
"Mana-mana parti yang tidak bersedia untuk mengusahakan kesepakatan ini hanya membantu Umno BN," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan