SHAH ALAM: Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk
Abdul Rahman Dahlan menyifatkan dakwaan adik lelaki mendiang Kevin
Morais yang mengaitkan penglibatan individu berpengaruh dalam kematian
Timbalan Pendakwa Raya itu sebagai 'wayang' menjelang Perhimpunan Agung
Umno (PAU) 2015.
"Satu lagi wayang dengan skrip teruk dan pelakon yang juga sama buruk," tulisnya dalam sosial Twitter.
Ahli Parlimen Kota Belud itu juga sempat 'menyindir' dengan mengatakan
dakwaan itu 'tepat pada masanya', merujuk kepada isu yang seolah-olah
sengaja ditimbulkan yang mengaitkan perdana menteri sebelum perhimpunan
agung parti, Disember ini.
"Dakwaan menakjubkan oleh Charles Morais selepas lama kejadian
(pembunuhan) itu berlaku, tetapi sebelum AGM Umno. Masa yang tepat,"
tulisnya lagi.
Semalam, adik mendiang Kevin, Charles Suresh Morais mendakwa kematian
abangnya mempunyai kaitan dengan satu kes yang dikendalikannya
membabitkan individu berpengaruh.
Charles juga mendakwa beliau kini memiliki pemacu pena (pen drive) yang
mengandungi maklumat terkini berhubung satu kes yang sebelum ini
dikendalikan mendiang dan boleh disabitkan dengan kematiannya.
"Kandungan 'pen drive' ini jelas dan tanpa ragu-ragu mendedahkan
siasatan yang mengaitkan personaliti tertentu," katanya dalam satu
sidang media semalam.
Charles bagaimanapun enggan mendedahkan nama pihak yang disyaki itu.
Charles yang menandatangani akuan sumpah berkanun berhubung dakwaannya
berkata, beliau tidak yakin bahawa kematian mendiang abangnya itu ada
kaitan dengan kes rasuah pakar patologi Angkatan Tentera Malaysia yang
sebelum ini dikendalikan oleh mendiang.
Sebaliknya beliau percaya bahawa Kevin, seorang Timbalan Pendakwa Raya
yang dipinjamkan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibunuh kerana kes yang sedang
dijalankan itu.
"Saya memiliki pen drive Kevin yang dihantar kepada saya melalui pos sebelum dia meninggal dunia," kata Charles.
Charles berkata 'pen drive' itu kini selamat di Amerika Syarikat, dan
telah mengarahkan supaya kandungannya didedahkan kepada umum jika
sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada beliau selepas pendedahan ini
dibuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan