Rekod JDT tidak pernah tewas di gelanggang sendiri sepanjang musim 2015 akhirnya lebur apabil dikalahkan Felda United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2015, sebentar tadi.
Lebih malang, kekalahan 1 - 2 itu juga menjadikan skuad Harimau Selatan tersingir sama sekali daripada saingan piala paling berprestij di negara ini.
Pada aksi di Stadium Dato' Haji Hassan Yunus di Larkin itu, Felda mengecewakan bangsa Johor khususnya penyokong JDT seawal minit ketiga melalui sepakan penalti Fernandes Thiago Augusto.
Penalti yang berpunca daripada bola yang terkena tangan pemain import, Harris Harun sekali gus memberi tekanan buat anak didik Mario Gomez.
Bagaimanapun, juara Piala AFC 2015 itu bangkit menguasai bola dan taktikal hantaran bola di sebelah kanan padang. Namun, tiada jaringan penyamaan oleh JDT sehingga separuh masa pertama tamat.
Separuh masa kedua menyaksikan JDT kembali memperkemaskan rentak permainan dengan menggerakkan jentera posisi tengah dan serangan.
Hasilnya, kapten Syafiq Rahim berjaya memecah kebuntuan dengan jaringan penyamaan pada minit ke-50.
Selamat tinggal Lions XII
Meneruskan saingan, JDT yang dilihat keluar dari zon tekanan kembali melakukan serang bertali-arus ke kawasan pertahanan Felda.
Malang bagi JDT, apabila serangan balas Felda dimanfaatkan pemain import mereka Zah Rahan Krangar yang muncul sebagai hero dengan menjaringkan gol kemenangan pasukan mereka.
Gol cantik yang melemaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias itu sekali gus membawa Felda ke saingan separuh akhir dengan agregat 3 - 2.
Pada saingan suku akhir pertama Selasa lalu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1 - 1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Sementara itu, di Stadium Jalan Besar Singapura, Pahang menjadi pasukan pertama ke slot suku akhir dengan kemenangan agregat 4 - 3.
Walaupun tewas 0 - 2 kepada Lions XII sebentar tadi, kemenangan di Kuantan sebelum ini menjadi penyelamat mereka.
Ternyata kemenangan Lions itu persembahan terakhir mereka di pentas liga Malaysia selepas FAM tidak meneruskan penyertaan skuad seberang tambak itu pada musim depan.
Selain Felda dan Pahang, dua lagi pasukan - Selangor dan Kedah - turut melangkah ke pusingan separuh akhir.
Selangor mencatatkan keputusan seri 1 - 1 di Stadium Shah Alam tetapi secara agregat Sarawak tewas dengan jaringan 3 - 2.
Sementara Kedah mengetepikan PKNS FC dengan kemenangan 3 - 1 pada aksi di Stadium MPS. Secara agregat skuad Hijau Kuning mengatasi PKNS dengan jaringan 4 - 2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan