Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan peluang berucap semasa perhimpunan agung parti pada 8 hingga 12 Disember depan.
Harapan itu dizahirkannya sewaktu mengulas tindakan Majlis Tertinggi (MT) yang memutuskan Muhyiddin tidak merasmikan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.
"Kalau dia (Muhyiddin) hendak bercakap, saya harap speaker bagi peluang dia bercakap.
"Kalau tak kita jangan bercakap pasal demokrasi.
"Kalau nak puji (presiden Umno) Datuk Seri Najib (Razak) saja baru bercakap, ini bukan lagi parti Umno," katanya pada sidang media selepas acara penutup KL Summit 2015 di Kuala Lumpur pagi ini.
Baru-baru ini Umno memutuskan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan datang dirasmikan ketua sayap sahaja.
Keputusan itu sekali gus melenyapkan peluang Muhyiddin berucap dan merasmikan sidang sayap-sayap itu selaku timbalan presiden – satu kebiasaan dalam perhimpunan agung.
Keputusan itu dicapai MT Umno sewaktu Muhyiddin tidak menghadiri mesyuaratnya pada 25 November lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan