Bekas ketua wanita Umno bahagian Gopeng Datuk Hamidah Osman menyifatkan bahawa beliau menjadi kambing hitam dengan dipecat dari parti itu Selasa lalu.
Katanya, ramai lagi pemimpin yang lantang menegur presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak seperti mantan presiden Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri, namun tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Saya yakin saya jadi kambing hitam kerana tidak dapat tanduk telinga dipulas, saya jadi mangsa.
“Kalau naik ikutkan menyuarakan perkara ini (menegur Najib), ada orang lain yang lebih lantang contohnya Tun (Dr Mahathir) sendiri tapi kenapa tidak diambil tindakan.
“Jadi kenapa saya, kerana saya wanita. Atau dia (Najib) nak sampaikan mesej untuk takutkan rakyat.
“Kerana saya wanita, perempuan yang lemah jadi diambil tindakan,” katanya kepada Malaysiakini di Impian Hotel Ipoh, petang ini.
Beliau mengingatkan parti supaya tidak terlalu menekankan ahlinya kerana ia hanya akan merosakkan Umno.
Katanya, beliau kini tidak lagi yakin dengan pentadbiran ajib selaku perdana menteri dan juga presiden Umno.
“Jangan tekan sangat (orang dalam parti) kerana ia akan melantun (hancur).
“Saya sendiri tidak yakin Najib jadi perdana menteri kerana kita akan jadi teruk (itu yang) saya bimbang,” katanya.
Selasa lalu, Najib mengumumkan Majlis Tinggi Umno sebulat suara memecat Ketua Wanita Umno Gopeng Datuk Hamidah Osman atas alasan berkaitan disiplin parti.
Hamidah juga pernah dilayangkan surat tunjuk sebab kerana hadir di Lapangan Terbang Subang untuk menyambut kepulangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga lantang membidas Najib dan pernah mendesak supaya beliau meletakkan jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan