HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2015

Mustapa yakin UMNO boleh rampas Kelantan pada PRU14

Bernama
Mustapa yakin UMNO boleh rampas Kelantan pada PRU14
MUSTAPA: UMNO mampu rampas kembali Kelantan daripada PAS pada PRU14. -Gambar fail
 

KOTA BAHARU: UMNO Kelantan yakin mampu merampas kembali negeri ini dari tangan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata ia berdasarkan beberapa faktor utama antaranya perpecahan dalam PAS pada muktamar tahunan parti itu baru-baru ini serta penyelesaian beberapa isu nasional yang turut mempengaruhi UMNO ketika ini.

"Hari ini kita dapati ada anggota PAS yang nak bersama-sama dengan DAP sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) dan ada yang masih setia dengan parti itu.

"Selain itu, kita sedia maklum ada beberapa isu nasional yang turut pengaruhi UMNO, namun dengan usaha-usaha yang diambil kita yakin isu-isu berkenaan dapat diselesaikan pada tahun hadapan," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen UMNO 2015 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat serta Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Md Alwi Che  Ahmad.

Konvensyen selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan lebih 2,000 perwakilan UMNO Kelantan.

Mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Mustapa berkata Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan meneliti beberapa usul yang dicadangkan oleh perwakilan sebagai persiapan menghadapi PRU14 nanti.

"Apa yang penting pelan tindakan (pada masa depan). Ada perwakilan yang memberi teguran mengenai cara kita bawa diri, ada yang cadangkan ditubuhkan sebuah institut pemikiran untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda.
"Insya-Allah kita akan perhalusi dan laksanakan cadangan-cadangan berkenaan. Namun apa yang lebih penting, ia menunjukkan UMNO Kelantan masih lagi bersatu," katanya.

Tiada ulasan: