HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2015

Gabungan akar umbi cabar Najib adakan pemilihan parti

Shakira Buang


 


Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia yang mendakwa mewakili kira-kira 200 cawangan Umno, mencabar presiden parti itu, Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya mengadakan pemilihan Umno tahun depan.

Mewakili mereka, Ketua Cawangan Kampung Railway, Mohd Said Midon berkata, cabaran itu adalah sebahagian daripada agenda mereka, selain mendesak Najib berundur daripada memimpin parti itu.

Jun lalu, Najib mengumumkan pemilihan parti itu yang sepatutnya berlangsung tahun depan, ditangguhkan selama 18 bulan untuk mengukuhkan parti.

“Kalau dia (Najib) bijak, buat pemilihan pada (perhimpunan agung Umno) 2016, itu yang terpenting sebelum menghadapi pilihan raya.

“Sekarang ini desakan kita ialah untuk Najib undur dan adakan pemilihan parti pada 2016 untuk jalankan pemutihan seperti parti PAS buat, kerana macam itulah akan kembalinya keyakinan Umno itu sendiri dan juga orang ramai,” katanya.

Mohd Said menegaskan demikian dalam sidang media di majlis 'Mendemokrasikan Umno' lewat malam tadi yang menurutnya dihadiri ketua-ketua cawangan dari seluruh negara.

Mohd Said berkata, pemilihan parti perlu diadakan sebagai proses pemutihan di dalam parti bagi memastikan Umno terus kekal relevan.

Bagaimanapun, ketua-ketua cawangan yang terlibat malam tadi tidak akan menolak sekiranya di dalam pemilihan akan datang, Najib terus dipilih untuk kekal memimpin Umno.

“Itu kuasa Alalh dan kami terima (jika Najib menang dalam pemilihan), tetapi pemilihan itu mestilah dijalankan dengan cara baik dan jujur. Dia bertanding dan menang, kami terima, tetapi dengan syarat kena berubahlah, jangan terus jadi macam ini (merosakkan kepercayaan akar umbi dengan tindakan yang tidak relevan).

“Kalau tak berubah, PRU14 nanti akan menghancurkan,” kata Mohd Said lagi.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Umno Cawangan Bandar Puteri, Mohd Shukor Mustaffa berkata ahli Umno berada di dalam keadaan kecewa.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mendakwa kumpulan yang menentang Najib sebagai mereka yang kecewa.

“Saya nak jawab, sebenarnya memang kami kecewa... yang teramat sangat kalau boleh nak menangis. Sebab apa, tangan kita yang memangkah ini dan amanah yang kita bagi pada pemimpin ini tidak dapat dilaksanakan, kami amat kecewa,” jelas Mohd Shukor mengulas kenyataan Ismail itu.

Susulan itu, Gabungan Ketua Umno Cawangan Malaysia ini berkata bahawa mereka akan tetap mempertahankan Umno dan terus berjuang bagi memastikan parti itu berada pada landasan perjuangan yang asal.

Malah, kumpulan itu tidak menolak dan akan mendukung penuh kepimpinan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya beliau menggantikan Najib sebagai presiden.

“Kami akan sokong, sebab itu memang tradisi kami, ikut hirarki parti... tiada masalah jika sesiapa pun yang ganti presiden,” kata Ketua Umno Cawangan Taman T.K.K, Kamarul Azman Habibur Rahman.

Turut hadir di dalam perjumpaan tertutup tersebut ialah bekas ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang baru dipecat dari parti itu atas alasan lantang mengkritik kepimpinan Umno dan melanggar disiplin parti.


Tiada ulasan: