SHAH ALAM - Perwakilan Negeri Sembilan, Ismail Ahmad mahu pemimpin lama memberi peluang kepada muka baru menerajui parti.
Peluang juga harus diberikan kepada anak muda untuk memastikan agenda reformasi nasional dapat dilaksana dan diteruskan terutama di peringkat akar umbi.
"Kalau menang jangan duduk lama-lama, beri peluang kepada orang baru dan pelapis muda untuk memastikan gerakkan reformasi diteruskan, bukan disekat atau dihalang oleh orang kita sendiri.
"Bagaimanapun orang baru harus menilai kemampuan diri sebelum mahu bertanding atau merebut jawatan. Jangan tamak melainkan kita hebat, ibarat masuk tak menambah keluar tidak mengurang. Maka fikirkan-fikirkanlah," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden PKR, semalam.
Ismail akui, PKR juga ada melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga menyebabkan parti tewas dalam pilihan raya sebelum ini.
"Walaupun kita buat banyak kerja, ia belum cukup untuk menang pilihan raya akan datang. Jangan jatuh pada lubang yang sama dua kali. Jangan biarkan kita dipatuk ular berbisa sekali lagi.
"Kami akan pastikan segala kesilapan lalu ditutup dan teruskan gerak kerja agenda reformasi yang baru dan tidak akan mengalah sebelum berjuang," katanya.
Ismail bagaimanapun mengingatkan secantik mana pun agenda reformasi yang dirancang, jika ia tidak sampai ke akar umbi dan tidak dapat difahami anggota bawahan, ia ibarat membuang garam ke laut, laut tidak masin, tenaga habis,faedahnya pun tidak dirasai.
Katanya, agenda reformasi nasional perlu digarap dan disampaikan ke peringkat akar umbi untuk dilaksanakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan