HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2015

CHOGM berminat pelajari kejayaan Malaysia laksana deradikalisasi - Zahid

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
VALLETTA: Kejayaan Malaysia dalam melaksanakan pemulihan atau proses 'deradikalisasi' terhadap pengganas dan golongan ekstremis sudah mencapai tahap 95 peratus, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan Malaysia dalam menangani pengganas sejak era komunis mendapat pengiktirafan dunia dan banyak negara menyatakan hasrat untuk mempelajari pengalamannya. 
 
"Saya telah berkongsi fakta-fakta mengenai kejayaan kita mencegah, membanteras dan memulih pengganas pada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dan mereka mahu mempelajari cara kita melakukan deradikalisasi," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri CHOGM di sini, semalam. 
 
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Beliau berkata, Malaysia menjemput rakan CHOGM untuk menghadiri Persidangan Deradikalisasi yang akan dianjurkan Kuala Lumpur pada 25 dan 26 Januari depan. 
 
"Di situ kita akan berkongsi pengalaman kita. Malah kita juga menjemput beberapa negara Asean untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya. 
 
Ahmad Zahid berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara, kerajaan juga memutuskan untuk membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), golongan ulama dan pakar psikologi untuk memerangi serta memulih pengganas dan golongan ekstremis di Malaysia. 
 
"Saya yakin program deradikalisasi di Malaysia boleh mencapai kejayaan 100 peratus dalam tempoh terdekat dengan usaha yang dilakukan pihak berkuasa," katanya. 
 
Ahmad Zahid berkata, beliau juga berkongsi mengenai beberapa akta yang digubal Malaysia untuk mencegah dan memulihkan pengganas, termasuk Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan pencegahan pengganas luar negara dan pindaan kepada Kanun Keseksaan berkaitan keganasan, yang diterima baik pemimpin Komanwel. 
 
Katanya, pemimpin Komanwel menganggap Malaysia sebagai negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan. 
 
"Saya memaklumkan semua akta itu bertujuan mengawal dan memerangi pengganas yang menerima latihan di luar negara, pengganas luar negara yang datang ke Malaysia, selain pengganas rakyat Malaysia yang menerima latihan di luar negara dan pulang untuk melakukan keganasan di dalam negara. 
 
"Pemimpin Afrika juga bercakap mengenai kumpulan Bako Haram di negara mereka. 
 
Di Nusantara, khususnya kumpulan yang bertapak di Selatan Thailand dan Filipina mempunyai hubungan dan jaringan antarabangsa. 
 
"Ini kita khuatir. Jadi perlu ada langkah-langkah pencegahan drastik untuk mengawal mereka daripada melebarkan kegiatan di Nusantara dan ASEAN," katanya. 
 
Ahmad Zahidi berkata, selain isu keganasan, pemimpin CHOGM juga banyak membincangkan isu imigran yang dihadapi banyak negara ketika ini. Beliau berkata, satu tata atur sedang diteliti untuk menangani isu imigrasi ini. 
 
"Malaysia ada peraturan imigresen yang baik, termasuk bagaimana kita menerima pelarian dari Myanmar dan komitmen kita untuk menerima 3,000 pelarian Syria. 
 
"Saya juga jelaskan kita ada pengalaman ketika menerima pelarian dari Bosnia-Herzegovina. 
 
Jadi, kita jadikan pengalaman itu sebagai acuan dalam pengurusan pelarian baru," katanya.
 
 

Tiada ulasan: