HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2015

Vape Tidak Selesaikan Masalah Ketagihan Rokok

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memerlukan hasil kajian saintifik yang membuktikan rokok elektronik (e-rokok) dan vape adalah kaedah terbaik menghilangkan tabiat ketagihan merokok untuk pertimbangan pindaan undang-undang larangan vape.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata kementerian sedia menunggu bukti berkenaan melalui hasil kajian saintifik daripada mana-mana pihak dalam dan luar negara.

"Jika (kajian) terbukti benar, bolehlah dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pindaan undang-undang berkaitan larangan vape," katanya kepada media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian memorandum persefahaman perkhidmatan rawatan berhenti merokok secara kerjasama antara sektor awam dan swasta - M Quit Services - di sini, Jumaat.

Memorandum itu ditandatangani Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagi pihak kementerian dengan wakil-wakil dari Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Akademi Farmasi Malaysia dan Syarikat Johnson and Johnson Sdn Bhd.

Dr Lokman sebelum ini dilaporkan berkata penjualan dan penggunaan cecair e-rokok yang mengandungi nikotin tertakluk di bawah peruntukan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 dalam Peraturan Kawalan Tembakau 2004.

Mengikut Akta Racun 1952 (semakan 1989) dan Akta Makanan 1983, nikotin dikategorikan dalam racun Kumpulan C, dan mereka yang mengilangkan, mengedar dan menjual perlu mempunyai lesen dan Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa merampas produk mengandungi nikotin.

Sementara menunggu bukti saintifik itu, Dr Lokman menasihatkan pengguna vape yang mengalami ketagihan merokok untuk mendapatkan khidmat rawatan berhenti merokok yang disediakan oleh kerajaan sejak 2004.

"Berdasarkan pakar psikiatri, untuk menangani masalah ketagihan, jalan penyelesaian bukannya kita perlu tertarik pada benda yang lain, kerana apabila ada unsur ketagih pada benda lain bermakna kaedah itu tidak menyelesaikan masalah ketagihan.

"Vape, e-rokok dan rokok ini sama seperti berjudi, dahulu berjudi gunakan daun terup tetapi sekarang judi di komputer pula, itu tidak langsung menyelesaikan masalah tetapi sehingga hari ini belum ada bukti saintifik e-rokok itu boleh membantu dalam program berhenti merokok," katanya.

Mengenai program M Quit Services, Dr Lokman berkata ia meningkatkan kebolehdapatan perkhidmatan berhenti merokok bagi mereka yang ingin keluar dari masalah ketagihan dan tabiat merokok, di samping memberikan latihan serta menjalankan pemantauan.

Katanya, program itu sehingga kini berjaya membantu sekurang-kurangnya 21 peratus daripada 100 orang yang berhenti merokok sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Dr Chen Chaw Min berkata antara kaedah utama yang digunakan melalui program itu adalah penggunaan rawatan ubat dan perkhidmatan kaunseling termasuk khidmat nasihat dan sokongan menerusi telefon selama satu tahun yang dilakukan dari semasa ke semasa oleh pakar, katanya.

Tiada ulasan: