ZALINAH NOORDIN
Shamser berkata, mandat
untuk menjadi Ketua Menteri perlu diberikan kepada individu berasal dari
Pulau Pinang, sebaik-baiknya pemimpin akar umbi, bukannya orang luar. -
Foto TRP/ Adib Hakim
GEORGE TOWN, Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sepatutnya dipegang Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, bukannya Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti pemerintah Pulau Mutiara itu.
Seorang
perwakilan parti, Shamser Singh Thind dari Taman Chai Peng berkata,
mandat untuk menjadi Ketua Menteri perlu diberikan kepada individu
berasal dari Pulau Pinang, sebaik-baiknya pemimpin akar umbi, bukannya
orang luar.
Lim yang merupakan wakil rakyat di Melaka sebelum ini, dilahirkan di Johor.
“Ia hanya adil
kepada seseorang yang berasal dari Pulau Pinang untuk memimpin rakyat
Pulau Pinang dan untuk warga Pulau Pinang memutuskan siapa yang patut
memimpin mereka,” katanya yang mendapat sorakan gemuruh daripada
perwakilan dalam dewan di Hotel Equatorial, ketika sesi perbahasan
sempena Konvensyen DAP Pulau Pinang, hari ini.
Beliau turut mencadangkan
proses pemilihan ahli jawatankuasa ditukar, memandangkan ia tidak
memberi kuasa penuh kepada akar umbi untuk memilih pemimpin mereka
seperti dalam pemilihan Pemuda Sosialis DAP, baru-baru ini.
“Sebagai
contoh, majoriti telah memilih (Ahli Parlimen Puchong) Gobind Singh Deo
di Selangor, tetapi (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) Tony Pua yang
berada di tempat kelapan, dipilih sebagai Pengerusi DAP negeri.
“Perkara sama
berlaku di Perak,” kata Shamser yang memetik mendiang Karpal Singh
sebagai berkata, tiada kawan atau musuh kekal dalam politik.
Beliau turut
mempersoalkan tindakan DAP berpaut kepada PAS di Selangor, apabila Pulau
Pinang sudah membentuk kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada
Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR.
“Sekarang ia
kelihatan seperti ada empat parti dalam Pakatan Harapan. Adakah ia sukar
untuk DAP melepaskan ‘kekasih lama’?” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri di Selangor terdiri daripada empat parti, iaitu DAP yang mempunyai 15 kerusi, PKR 13 kerusi, PAS 13 kerusi dan Amanah dua kerusi.
“Bukan itu sahaja, tiga daripada exco negeri adalah pemimpin PAS.
“Mengapa
DAP masih berdampingan dengan musuh terbaru, PAS selepas perceraian
itu?” soal Shamser yang turut membangkitkan isu di Dewan Undangan Negeri
(DUN) Pulau Pinang, baru-baru ini.
Beliau mempertikaikan kerajaan negeri pimpinan DAP, khasnya Lim, menegur wakil rakyat yang menyokong usul dikemukakan BN itu.
“Setahu saya, di Pulau Pinang, wakil rakyat Pakatan Harapan tidak boleh menyokong atau undi berkecuali usul pembangkang.
“Tetapi Pakatan
Harapan masih mengharapkan Ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong
undi tidak percaya terhadap (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib Razak.
“Jika ia adalah
kewajipan wakil rakyat Pakatan Harapan untuk membantah semua usul
Barisan Nasional, saya mahu tanya kenapa tidak ada seorang pun Ahli
Parlimen Pakatan yang membantah kenaikan gaji bulanan Ahli Parlimen di
Parlimen?” soalnya.
Pada persidangan DUN Pulau Pinang lalu,
Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengemukakan usul yang mencadangkan
semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan, tertakluk
kepada perdebatan umum.
Susulan itu, Speaker DUN, Datuk Law Choo
Kiang menolak usul Muhamad Farid, selepas 23 Adun membantah, 10
menyokong dan lima berkecuali, pada dua minggu lalu.
Mereka termasuk Ong Chin Wen (PKR-Bukit
Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang
Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T. Jayabalan (PKR-Batu
Uban).
Ahli Dewan Undangan Negeri DAP-Tanjung
Bungah, Teh Yee Cheu yang menyokong usul BN itu, bertindak meletak
jawatan sebagai Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang berkuat kuasa 23
November lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan