HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2015

Adik Kevin Morais larikan diri selepas sidang media

Bernama
Adik Kevin Morais larikan diri selepas sidang media
Polis juga membuka kertas siasatan terhadap Charles di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan maklumat dan Seksyen 124L kanun sama kerana cuba melakukan sabotaj. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Charles Suresh Morais, adik Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais yang hilang sebelum ditemui mati dibunuh, bertindak melarikan diri ke luar negara selepas membuat pelbagai dakwaan berhubung kes kematian abangnya itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Charles melarikan diri pada pukul 1.30 pagi Khamis melalui Tambak Johor selepas membuat sidang media mengenai mendiang abangnya pada petang Rabu lalu.

"Saya menyifatkan Charles sebagai seorang yang pengecut dan tidak bertanggungjawab selepas dia mengeluarkan pelbagai kenyataan," kata Khalid kepada pemberita semasa Upacara Perbarisan Tamat Latihan Kadet Inspektor Siri 2/2015 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Media sosial dan portal berita melaporkan baru-baru ini Charles membuat pelbagai dakwaan berhubung kes pembunuhan abang itu, antaranya (Kevin) terlibat dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Khalid berkata pihaknya akan memanggil peguam Charles iaitu Americk Sidhu dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Jika dia (Americk) gagal membantu siasatan polis akan guna kaedah lain bagi mengesan Charles," katanya.

Beliau berkata selain itu, polis juga membuka kertas siasatan terhadap Charles di bawah Seksyen 202 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan maklumat dan Seksyen 124L kanun sama kerana cuba melakukan sabotaj.
Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 Sept lepas setelah beliau dilaporkan hilang pada 4 Sept lepas.

Kevin kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini, untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. 
 
 

Tiada ulasan: