Bangsa Johor amat menekankan keakraban, toleransi dan saling menghormati tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.
PETALING JAYA: Tidak menjadi masalah kepada orang Islam untuk bersama-sama meraikan sambutan perayaan kaum lain sebagai tanda saling menghormati.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni almarhum Sultan Iskandar bertitah, ia juga bagi menghormati jiran tetangga dan rakan-rakan.
“Inilah Bangsa Johor yang menekankan keakraban, toleransi dan saling hormat menghormati tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa.
“Kita sepatutnya menyambut dengan aman dan harmoni,” titah baginda ketika menghadiri perjumpaan sempena Deepavali anjuran Persekutuan Persatuan India Johor di Dataran Tasik Kluang, lapor The Star Online.
Baginda berharap lebih banyak perjumpaan seperti itu dianjurkan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Krismas.
“Majlis seperti amat bermakna kerana ia mampu memperkukuhkan hubungan antara beta dengan rakyat,” titah baginda.
Baginda turut memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak menggunakan perbezaan fahaman politik untuk cuba memecahbelahkan perpaduan masyarakat India di Johor.
“Pergi jauh. Ini amaran beta kepada sesiapa yang datang ke Johor untuk menyebabkan perpecahan rakyat beta,” titah baginda sambil menegaskan tiada tempat untuk pihak yang berniat demikian di Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan