IPOH: Mangsa banjir di beberapa daerah di Perak meningkat kepada 392
orang daripada 114 keluarga pagi ini berbanding 375 orang semalam,
dengan satu pusat pemindahan dibuka di Parit Buntar, kata Pengarah
Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis.
Beliau berkata jumlah mangsa banjir terbaharu ialah 27 orang daripada
10 keluarga terdiri daripada penduduk Ladang Eow Seng dan Kampung
Tersusun Tali Air Lima, ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
Simpang Lima.
Yahya berkata mangsa membabitkan kawasan Bagan Serai iaitu Lebai Kadir,
Mat Keling, Air Hitam Dua, Simpang Empat dan Simpang Lima menurun
kepada 33 orang daripada 13 keluarga berbanding 44 orang semalam yang
ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.
"Sementara itu, sejumlah 139 orang daripada 42 keluarga di Batu 38 dan
40, Kampung Beriah, Parit Abu Hassan dan Kampung Ali Kalang di Bagan
Serai juga masih berada di pusat pemindahan sama (Sekolah Kebangsaan
Bukit Merah)," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata mangsa banjir di Kampung Permatang Tengah, Parit Air
Hitam Tengah kekal kepada 139 orang daripada 33 keluarga dan mereka
ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.
Katanya, mangsa banjir di Hilir Perak pula sebanyak 54 orang daripada
16 keluarga membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Teluk
Intan, Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Kampung Lorong dan kesemua
mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan