HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 November 2015

Facebook 'Dato Jamal Yunos Supporter' Bukan Milik Saya

Bariq Ramadhan




KUALA LUMPUR - Akaun Facebook 'Dato Jamal Yunos Supporter' merupakan akaun palsu dan tiada kaitan dengan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Mohd Yunus.

Jamal yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, pihaknya turut mempercayai akaun tersebut juga dilihat cuba melaga-lagakan di antara pemimpin negara.

“Saya juga percaya bahawa akaun facebook palsu tersebut ada kaitan dengan apa yang berlaku di negeri Selangor.

“Contohnya seperti yang berlaku baru-baru ini apabila Ketua Cawangan UMNO meminta Datuk Seri Najib untuk meletakkan jawatan. Mereka ini cuba melaga-lagakan kami khususnya pemimpin UMNO di negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di sini, sebentar tadi.


Jamal berkata akaun tersebut jelas melakukan fitnah terhadap diri beliau selepas akaun tersebut didapati telah menjatuhkan maruah pemimpin negara.

“Akaun tersebut telah mengeluarkan kenyataan bahawa saya telah mempertikaikan kewibawaan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

“Bahkan, akaun tersebut juga telah memfitnah saya dengan menyebut bahawa saya mempertikaikan kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ketua Negara.

“Saya dapat tahu semalam apabila akaun tersebut memburukkan Perdana Menteri dan Datuk Noh, padahal ia tidak benar sama sekali, sayalah penyokong paling kuat menyokong kerana saya tahu mereka ini di landasan yang betul,” katanya.

Jamal juga berharap agar pihak polis mengambil langkah agresif untuk menangkap mereka yang melakukan fitnah terhadap dirinya supaya si pemegang akaun tersebut takut.

“Saya berharap pihak polis segera siasatan dan mengambil tindakan kepada mereka ini dibawah undang-undang yang sedia ada.

“Sekiranya pihak polis berjaya menangkap pemegang akaun yang memfitnah saya itu, saya akan mengambil tindakan untuk menyaman mereka ini,” katanya.


Tiada ulasan: