HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 November 2015

Pemuda Amanah Selangor dedah cubaan sabotaj pelancaran parti

 Oleh Azizul Osman & Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor mendedahkan ada percubaan sesetengah pihak untuk membuat provokasi sempena pelancaran parti malam ini.
 
Menurut ketuanya Abbas Azmi, pihaknya mengesan satu kain rentang digantung di sekitar Shah Alam yang didakwa berunsur provokasi.
 
Kain rentang berkenaan jelas menunjukkan imej Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang turut memaparkan perkataan 'Kami tuntut Azmin pilih PAS atau Amanah' pada kain rentang berkenaan.
 
"Kami percaya tindakan menggantung banner provokasi ini adalah usaha  cubaan mencalar kredibiliti Parti Amanah Negara (AMANAH) yang semakin diterima rakyat dan juga cubaan mengeruhkan hubungan baik antara sesama parti komponen Pakatan Harapan.
 
"Tindakan ini juga dipercayai adalah cubaan untuk mengganggu kelancaran program pelancaran Parti Amanah Negeri Selangor dan Konvensyen Nasional PKR yang sedang berlansung", kata Abbas dalam satu kenyataan kepada Antarapos.
 
Pemuda Amanah katanya berasa kecewa dan menyelar tindakan tersebut yang disifatkan provokasi murahan yang mahu melihat perpecahan antara Pakatan Harapan dan PAS.
 
"Kami (Pemuda Amanah) meminta agar budaya provokasi kebudak-budakkan sebegini dihentikan segera dan tindakan sebegini tiada faedahnya.
 
 Kami menyeru agar mana mana pihak yang bertanggungjawab menggantung banner provokasi ini tampil memberi penjelasan seterusnya memperlihatkan kematangan dalam berpolitik.
 
Amanah Selangor akan dilancarkan di Shah Alam jam 8.30 malam ini menandakan parti itu kini bertapak di Selangor di samping PKR dan DAP.
 
Bagaimanapun parti itu kini masih lagi tidak diterima memandangkan kenyataan Azmin Ali bahawa PKR, DAP dan PAS masih merupakan gabungan Pakatan Rakyat yang sah di Selangor demi menjaga kepentingan kerajaan negeri.
 
 

Tiada ulasan: