HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Kurangkan kadar GST kerana kutipan hasil langkaui jangkaan

11078105_1147384771945126_1419325989808168380_n


Oleh Fatih Hassan Nordin


PERAK: Kerajaan Persekutuan dicadang sekurang-kurangnya mengurangkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada tiga peratus jika berdegil enggan memansuhkannya sebagaimana desakan pembangkang.

Menyatakan pendapatan kerajaan melalui GST melangkaui jangkaan, Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Taiping, Chong Zhemin, berkata pengurangan itu dapat mengurangkan beban golongan isi rumah B40 yang terjejas teruk akibat pelaksanaan cukai itu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dedahkan bulan lalu bahawa GST yang terkumpul ketika ini ialah RM51 bilion. Angka itu terkumpul sejak sembilan bulan lalu sejak pelaksanaannya, secara purata ia berjumlah kira-kira RM68 bilion setahun.

“Pada bajet tahun lalu, kerajaan menjangka mengumpul RM39 bilion keuntungan GST. Jumlah RM68 billion itu hampir dua kali ganda dari jangkaan dan empat kali ganda dari hasil RM18 billion cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 2014.

“Ia bermakna, kadar enam peratus cukai amat tinggi dan tidak munasabah. Adalah adil untuk kerajaan mengurangkan kadar GST. Langkah itu akan mengurangkan beban isi rumah B40,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas Laporan Matlamat Pembangunan Milenium Malaysia 2015 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menunjukkan isi rumah berpendapatan bawah 40 peratus (B40) paling terjejas teruk akibat pelaksanaan GST.

Ia sekaligus menunjukkan dakwaan kerajaan UMNO BN kononnya GST tidak memberi kesan regresif terhadap rakyat berpendapatan rendah di negara ini disangkal laporan pertubuhan antarabangsa itu.

Walaupun kerajaan mendakwa GST di negara ini ada senarai Barangan Berkadar Sifar (Zero rated) GST, Zhemin berkata, kesannya tetap dirasai rakyat berpendapatan rendah.

Malah, katanya, sukar untuk mereka bergantung kepada senarai Barangan Sifar GST ekoran pelbagai keperluan harian kebanyakannya diproses bersekali, bermakna turut dikenakan cukai enam peratus itu.

“Contoh, walaupun roti dalam senarai Barangan Sifar GST, hanya roti putih dan roti mil penuh hanya zero rated, roti dengan inti kaya, inti kacang dan inti mentega dikenakan cukai enam peratus.

“Walaupun ayam tidak dikenakan GST, ayam diperap dikenakan GST. Walaupun minyak masak dari minyak sawit, kelapa dan kacang tanah dikecualikan GST tetapi bahan lain seperti bunga matahari, jagung, kacang soya dan zaitun dikenakan GST.

”Keperluan asas seperti Milo, mee segera, biskut dan makanan dalam tin dan air berperisa dikenakan cukai enam peratus. Bagaimana kerajaan boleh harapkan rakyat miskin bergantung kepada makanan dalam Barangan Sifar GST sahaja,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: