SHAH ALAM: PKR tidak sepatutnya mempergunakan rakyat dalam usaha mereka
membebaskan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara Sungai
Buloh.
ADUN Dengkil, Tuan Shahrum Sharif berkata, banyak lagi platform lain
yang boleh digunakan parti itu dalam usaha mereka menagih simpati rakyat
selain menggunakan papan iklan #BebasAnwar yang dipamerkan dibeberapa
kawasan di Selangor.
"Saya percaya dengan berkempen, ada banyak lagi cara untuk berkempen
seperti mempromosikan program-program kerajaan negeri, mempromosikan
apa yang dibuat oleh Pakatan Harapan begitu juga di peringkat...kita
tidak menggunakan lambang parti dalam kempen-kempen kita mempromosikan
program transformasi kerajaan," katanya kepada Antarapos ketika
dihubungi tadi.
Beliau mengulas penafian Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor,
Shuhaimi Shafiei yang dilihat tiada kredebiliti apabila memberikan
alasan yang tidak berasas dalam usahanya mempertahankan papan iklan
#BebasAnwar yang dipasang di Selangor antaranya Ampang Jaya, Kepong dan
Rawang.
Shuhaimi terdahulu menegaskan papan iklan memaparkan gambar bekas Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga tidak ada kaitan dengan
cubaan mencabar keputusan mahkamah seperti yang didakwa Umno.
Menurutnya, penggunaan papan iklan tersebut hanya satu kempen membawa
rakyat dengan semangat Anwar dalam perjuangan menegakkan keadilan dan
menentang kezaliman.
Shahrum bagaimanapun dalam pada itu menegaskan cara kempen yang
digunakan oleh PKR juga dilihat seolah-olah mempunyai niat untuk
menentang institusi kehakiman di negara ini.
"Saya rasa kempen cara ini adalah kempen yang tidak sihat, mengajak rakyat menentang sistem kehakiman negara," katanya.
Terdahulu Umno Selangor telah meminta pihak berkuasa menyiasat pihak
berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kerana membenarkan papan tanda
#BebasAnwar dipamerkan di beberapa kawasan di negeri itu.
Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata
kandungan papan tanda yang dipamerkan itu dianggap mencabar keputusan
mahkamah terhadap Anwar.
Semalam satu laporan polis turut dibuat oleh Pemuda Umno yang
menyifatkan kewujudan papan-papan tanda bertulis 'Bebas rakyat, bebas
Anwar' yang nyata menghina institusi kehakiman negara.
Laporan itu dibuat beliau bersama-sama Briget Kesatuan Muda Pergerakan Pemuda Umno dan Kelab Suara Anak Muda 1Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan