HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Februari 2016

Mat rempit disaran tingkat status kepada mat motor

SINAR HARIAN


Mat rempit
- Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR - Golongan mat rempit disaran supaya meningkat taraf mereka sebagai mat motor yang lebih berhemah menunggang motosikal.

Saranan dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad yang mahu lebih ramai mat motor dilahirkan.

"Mat motor merupakan golongan yang berminat dengan aktiviti permotoran yang melakukan program kembara secara berpasukan dan mematuhi undang-undang jalan raya," katanya kepada pemberita ketika melancarkan program 'Jom, JPJ Bersama Mu' peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau menambah mat motor juga melakukan aktiviti perlumbaan, tetapi di litar yang ditetapkan.

"Mat rempit pula melanggar peraturan seperti memecut dan mungkin tidak mempunyai lesen. Bagi mat motor, melakukan perlumbaan adalah aktiviti sihat kerana mereka mematuhi peraturan dan memakai pakaian yang sesuai ketika berlumba," katanya.

Ismail diminta mengulas cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya trek lumba motosikal di sediakan di kawasan tertentu di ibu kota untuk mat rempit berlumba.

Mengenai cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya pesalah trafik yang tidak mempunyai lesen dihadapkan ke mahkamah, beliau berkata ia memerlukan pindaan Akta Pengangkutan Jalan. - Bernama


Tiada ulasan: