HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Lebih 2,000 penduduk rumah panjang Iban tiada bekalan air

IMG-20160224-WA0010

Oleh  Hafiz Zainuddin


SRI AMAN: Lebih 2,000 penduduk masyarakat Iban di 25 rumah panjang bahagian Undup di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang terpaksa bergantung kepada sistem air graviti sebagai sumber utama menguruskan kegiatan harian kerana tiada kemudahan air terawat.

Lebih menyedihkan, mereka berdepan masalah ketiadaan air sehingga berbulan-bulan jika sumber air dari sistem graviti kering mengakibatkan mereka terpaksa menunggu hujan lebat supaya ia kembali berfungsi.

Penduduk juga putus harap dan bosan dengan janji wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kemudian membuat aduan kepada DAP supaya masalah mereka diatasi dan dibawa ke pengetahuan semua pihak.

Walaupun mereka banyak kali mengadu masalah mereka kepada wakil rakyat BN, kata Pengerusi DAP Sri Aman, Leon Jimat Donald, tiada sebarang tindakan konkrit diambil.

“Penduduk memberitahu, wakil rakyat BN berjanji memberi kemudahan air terawat yang akan disambungkan dari Loji Rawatan Air Bayai tetapi sampai sekarang tiada tindakan apa-apa.

“Buat masa ini, saluran paip air terawat hanya ada di Guntung. Tidak sampai pun di kawasan penduduk rumah panjang kawasan ini,” katanya kepada Roketkini.

Menyifatkan isu itu sebagai realiti pahit yang dialami rata-rata penduduk luar bandar di Sarawak, Leon yang juga Naib Pengerusi DAP Sarawak menggesa kerajaan negeri supaya menunaikan janji mereka kepada masyarakat terpinggir.

“Memalukan, menyedihkan. Walaupun sudah 52 tahun Sarawak membentuk Malaysia, kebanyakan kawasan luar bandar masih tiada kemudahan asas seperti kemudahan bekalan air terawat, kemudahan elektrik begitu juga dengan akses jalan raya.

“Segala masalah ini tidak akan timbul sekiranya kerajaan benar-benar prihatin kepada keperluan rakyat,” kata Leon.

DUN Simanggang salah satu dari tiga DUN dalam Parlimen Sri Aman yang diwakili Datuk Francis Harden Hollis dari parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun 2011, SUPP hanya menang majoriti 2,447 undi daripada 10,488 pengundi berdaftar menewaskan calon DAP, Leon Jimat Donald. -Roketkini.com


Tiada ulasan: