HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Februari 2016

Muhyiddin: MT tak ikut prosedur, tapi saya tak akan merayu

MALAYSIAKINI




Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak akan merayu terhadap tindakan Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung jawatannya sebagai timbalan presiden Umno, walaupun beliau mempertikai cara MT dalam membuat keputusan tersebut.

"Malah MT juga tidak mengikut prosedur tatatertib. Saya tidak diberikan surat tunjuk sebab dan tempoh masa untuk membela diri.

"Saya tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin untuk membolehkan lembaga membuat perakuan kepada MT.

"Ahli biasa pun diberikan peluang untuk membela diri sedangkan saya terus dihukum. Nampaknya MT tidak sabar-sabar untuk menggantung saya. Walau bagaimanapun, saya tidak akan merayu," kata Muhyiddn dalam satu kenyataan.

Menurutnya, MT lebih mementingkan soal teknikal dalam mengambil tindakan terhadap dirinya "daripada meneliti kandungan ucapan-ucapan saya yang mempunyai implikasi jauh lebih besar terhadap masa depan Umno dan negara".

Hari ini, katanya, tercatat dalam lipatan sejarah Umno, seorang timbalan presiden yang dipilih dalam pemilihan parti digantung daripada jawatannya oleh MT semata-mata kerana tindakannya menegur presiden.

"Nampaknya, kuasa MT mengatasi suara ahli-ahli parti yang memilih saya sebagai timbalan presiden," tegasnya.

Menurut Muhyiddin lagi, mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada peringkat awalnya, beberapa pemimpin utama Umno datang menemuinya mengadu hal mengenai pelbagai dakwaan yang menyelubungi Najib dan isterinya.

"Mereka meminta saya melakukan sesuatu untuk memperbetulkan keadaan. Mereka bimbang Umno akan ditolak oleh rakyat jika Najib terus memimpin parti.

"Saya katakan kepada mereka bahawa saya tidak boleh memperbetulkan keadaan secara bersendirian. Saya cadangkan supaya mereka bersama-sama secara kolektif menasihati Najib.

"Mudah-mudahan dia bersedia untuk memperbaiki kesilapannya demi menyelamatkan Umno dan negara. Malangnya, mereka tidak berani menasihati Najib.

"Akhirnya, apabila keadaan bertambah teruk saya mengambil tanggungjawab untuk menegur Najib dalam pertemuan empat mata bersamanya, dalam mesyuarat kabinet, mesyuarat MT dan kemudiannya dalam platform parti secara terbuka.

"Apabila saya mula bersuara, orang-orang yang sebelumnya datang menemui saya mula menjauhkan diri daripada saya. Hari ini, orang-orang inilah yang paling lantang mengecam saya," tegasnya..


Tiada ulasan: