HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Februari 2016

DAP gesa kerajaan dedahkan nama konsortium loji kuasa solar, syak ada kaitan dengan 1MDB

ong kian ming

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) digesa mendedahkan nama konsortium yang diberi hak tanpa tender terbuka untuk membina loji janakuasa 150MW solar skala utiliti di negara ini.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming mahu Menterinya, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili menjelaskan kepada rakyat nama konsortium tersebut kerana ia melibatkan integriti kerajaan Persekutuan.

Katanya, sebelum ini kerajaan telah melakukan perbuatan yang sama dengan memberi hak membina loji 50MW tanpa tender terbuka kepada 1MDB Solar Sdn Bhd pada Mei 2014 sedangkan syarikat itu tidak mempunyai sebarang pengalaman membina dan mengendali loji solar.

Media massa pada Januari lalu melaporkan Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Loo Took Gee, sebagai berkata bahawa loji 150MW tersebut telah dianugerahkan kepada sebuah konsortium yang tidak didedahkan namanya.

“Tindakan Loo menyembunyikan nama konsortium yang menerima projek itu amat tidak boleh diterima dan bercanggah dengan aspek ketelusan, lebih-lebih lagi projek itu tiga kali ganda lebih besar daripada yang diberi kepada 1MDB sebelum ini.

“Ia menimbulkan persoalan seolah-olah konsortium yang diberi kontrak loji solar 150MW itu mempunyai kaitan dengan penjualan Edra Tenaga Global oleh 1MDB pada akhir 2015,” kata Kian Ming dalam satu kenyataan media.

Beliau turut meluahkan rasa kesal apabila pemberian projek janakuasa solar skala utiliti secara terus oleh KeTTHA itu tidak konsisten sama sekali dengan sistem ‘Feed-in-Tariff’ (FiT) yang lebih telus, adil dan saksama.

“Sistem FiT memberi kuota kepada pemasangan solar berskala kecil, iaitu kurang dari 425kwh melalui undian terbuka oleh Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

“Apa yang mengecewakan ialah, SEDA seolah-olah dipinggirkan dalam pemberian projek itu, padahal ia mempunyai kuasa menasihati Menteri berkaitan tenaga boleh diperbaharui bawah Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011,” katanya.


Tiada ulasan: