SHAH ALAM: Mengapa hanya dua ADUN PKR yang menerima hukuman daripada
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedangkan lima orang wakil
rakyat parti itu tidak menyokong usul tebus guna tanah di pinggir laut
negeri itu?, soal ADUN Pulau Betong, Datuk Farid Saad.
Farid berkata lima ADUN PKR itu bertindak tidak menyokong usul kerajaan
negeri pada sidang DUN November lepas, berikutan mengambil kira
kepentingan rakyat justeru mereka tidak sepatutnya dilayan sebegitu oleh
Guan Eng.
Guan Eng kemudiannya memberitahu beliau hilang kepercayaan terhadap
lima ADUN PKR berkenaan sebelum mengumumkan pengguguran ADUN Bukit
Tengah, Ong Chin Wen daripada jawatan pengarah Penang Invest and Island
Golf Properties Bhd dan ADUN Kebun Bunga Cheah Kah Peng daripada jawatan
pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.
"Bila Guan Eng mengambil tindakan ke atas mereka saya rasa benda itu
tidak adil. Kesemua yang tidak menyokong usul berkenaan lima orang,
kenapa dua sahaja yang dipecat.
"Apa yang dilakukan oleh (lima) ADUN PKR itu bukanlah menunjukkan
bahawa mereka menyokong Umno cuma menyokong isu yang dibangkitkan oleh
kami, iaitu isu berkaitan dengan perkara yang memberi kesan kepada
rakyat Pulau Pinang," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
Sikap tidak boleh dibantah yang ditonjolkan Guan Eng itu mengesahkan
dakwaan banyak pihak sebelum ini bahawa DAP adalah parti dominan, ujar
Farid.
Farid adalah ADUN Umno yang mengusulkan agar semua projek penambakan
tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum.
ADUN Bukit Tengah dan ADUN Kebun Bunga menyokongnya dan tiga lagi wakil rakyat PKR bersikap berkecuali.
"Saya rasa ini menunjukkan bahawa Guan Eng ini adalah seorang pemimpin
yang tidak boleh dibantah dan kena dengar cakap dia seorang sahaja.
"Sebab itu apabila berlakunya perbahasan (berkecuali dalam usul tambak
laut), sebaik sahaja DUN habis bersidang, beliau panggil ADUN DAP dan
ada yang mintak maaf padahal ADUN berkenaan adalah dari awal sidang
menyuarakan ketidakpuasan hati dia kepada isu ini," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan