HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Februari 2016

Kerajaan digesa lebih serius atasi sindiket peralat pengemis

Sivakumar-DAP


Oleh Fatih Hassan Nordin


IPOH : Kerajaan UMNO BN perlu memberi perhatian serius terhadap isu derma haram dan eksploitasi kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU) yang seringkali diperhamba sindiket tertentu.

Bimbang masalah itu bertambah parah ekoran ekonomi negara semakin buruk, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, berkata, kerajaan harus mempertingkat operasi dan penguatkuasaan bagi membendung masalah itu.

“Ia masih berlaku walaupun pelbagai usaha diambil kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) tertentu. Saya risau masalah itu menjadi lebih ketara apabila ekonomi negara semakin buruk,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Namun, beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun yang menyatakan dari 2008 hingga 2014 seramai 391 kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, beliau tertanya-tanya kekerapan operasi agensi kerajaan dan kementerian yang dipertanggungjawab untuk memantau dan menguat kuasa undang-undang berkaitan bagi memastikan masalah itu diatasi dengan baik.

“Saya ingin mengetahui kekerapan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan operasi menyelamatkan kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi mengutip sedekah di tempat awam.

“Kita tidak hanya menjalankan operasi ad-hoc apabila masalah ini timbul di permukaan. Kita harus mempunyai sasaran ‘Pengemis Sifar’ di negara kita. Semua pihak termasuk orang awam harus mengambil inisiatif membantu agensi kerajaan membanteras kegiatan itu,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Perak itu turut mempersoal sejauh mana tindakan yang sudah diambil Petugas Khas diketuai JKM untuk menangani masalah berkenaan.

“Sejauh manakah Petugas Khas ini berkesan dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan? Berapa ramai kanak-kanak dan OKU yang berjaya diselamatkan sepanjang tahun 2015?

“Berapakah orang yang didapati mengeksploitasi golongan itu disiasat dan didakwa mengikut seksyen 32 Akta Kanak-kanak 2011?” katanya. -Roketkini.com


Tiada ulasan: