HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Februari 2016

'Pakcik selesa tinggal di sini'

'Pakcik selesa tinggal di sini'
Keadaan dapur Ismail dari luar yang menunggu masa untuk roboh dan merbahaya kepadanya.


SUNGAI MANIK - “Pakcik sudah biasa hidup sendiri, macam inilah keadaan rumah asalkan selesa dan selamat sudah memadai bagi orang bujang macam pakcik.

Itu luahan seorang warga emas, Ismail Labin, 74, ketika menerima kunjungan Sinar Harian bersama Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, pagi semalam selepas sejak semalam kisahnya heboh di laman sosial Facebook.

Turut turun bersama Pembantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hilir Perak, Muhammad Azanie Ehsan, bagi melihat sendiri keadaan Ismail yang dikatakan tinggal bersendirian di Parit 18B Sungai Lampam.

Melihat keadaan rumah Ismail ia sama seperti yang digambarkan di dalam laman Facebook kerana terlalu uzur dan tidak selamat untuk tinggal di situ.

Menurut Ismail, selepas kematian orang tuanya, dia hanya tinggal seorang diri kerana tidak berkahwin.

“Pakcik tidak berkahwin kerana semasa muda mengambil tugas menjaga orang tua yang tidak sihat, tapi pakcik tidak pernah merasa menyesal malah bersyukur dapat berbakti kepada mereka.

“Tetapi, pakcik ada anak saudara yang tinggal tidak jauh dari sini dan kadang-kadang dia ada melawat untuk bertanya khabar dan melihat keadaan pakcik,” katanya.

Ditanya mengenai urusan makanan, minuman dan pakaiannya, Ismail berkata, semuanya diuruskan oleh dirinya sendiri.

“Kalau larat pakcik akan masak sendiri menggunakan dapur kayu, kalau tidak pakcik kayuh basikal ke kedai makan berdekatan untuk beli nasi bungkus,” katanya.

Penerima bantuan JKM sejak 1990

Sementara itu, Muhammad Azanie memaklumkan kepada Sinar Harian bahawa Ismail merupakan salah seorang penerima bantuan daripada JKM Hilir Perak sejak 1990 lagi.

“Nama beliau (Ismail) ada di dalam sistem JKM sebagai penerima bantuan sejak tahun 90 lagi, dan pada 2008 dia mula menerima bantuan RM300 sebulan di bawah  Bantuan Orang Tua (BOT).

“Kami juga ada menyumbang bantuan membaiki rumah berjumlah RM1,000 kepada beliau sebelum ini untuk digunakan membaiki kerosakan rumah berkenaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Muhammad Azanie berkata jumlah berkenaan tidak mencukupi kerana keadaan rumah tersebut terlalu uzur dan sebaiknya, Ismail diberi rumah bantuan baharu.

“Kami juga pernah beberapa kali datang memujuk Ismail supaya tinggal di rumah orang-orang tua memandangkannya hidup sebatang kara, tetapi dia menolak,” katanya.

Ismail ketika ditanya mengapa menolak tawaran tinggal di rumah orang-orang tua, menjawab bahawa dia lebih selesa tinggal seorang kerana di sana dia tidak bebas.

“Saya ada rumah dan tanah sendiri, jadi lebih baik tinggal di sini daripada di rumah orang-orang tua kerana di sana saya akan dikongkong, tidak bebas bergerak ke mana-mana,” katanya.

Cuba bantu dapatkan rumah bantuan YBU

Zainol Fadzi, yang turut turun melawat Ismail berkata, beliau amat simpati dengan keadaan yang terpaksa di hadapi oleh Ismail dan akan membantu beliau secepat mungkin.

“Saya akui ini kelemahan dan salah saya sebagai Adun gagal membantu Ismail walaupun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pernah membuat laporan mendapatkan bantuan rumah untuknya.

“Tetapi pada masa sama kami tidak pernah mengabaikannya kerana JKKK sering menamakan beliau sebagai penerima sekiranya ada majlis penyampaian sumbangan, selain JKM turut membantu sejak 1990 lagi,” katanya.

Zainol Fadzi berkata, pusat khidmat Dun Sungai Manik sudah menghubungi pihak Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) untuk membantu membina sebuah rumah kediaman baharu baut Ismail dengan segera.

“Saya berharap kerajaan pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) supaya dapat menambah jumlah peruntukan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di setiap daerah.

“Ini kerana senarai menunggu untuk menerima bantuan berkenaan terlalu ramai dan misalnya di Hilir Perak setahun hanya lapan buah rumah sahaja diperuntukkan,” katanya.

Menurut Zainol Fadzi beliau sempat berbual dengan Ismail dan dia memaklumkan bahawa rumah yang didiaminya itu sudah berusia 57 tahun, dibina di atas tanah miliknya sendiri.

“Saya juga dimaklumkan bahawa tanah milik Ismail diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk) sekiranya dia meninggal dunia.

“Ismail juga berkata dalam satu musim padi (empat bulan) dia memperoleh sekurang-kurangnya RM700 hingga RM800 dan itu digunakan sebagai tambahan perbelanjaannya selain bantuan daripada JKM,” katanya.


Tiada ulasan: