Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998, negara terjerumus dalam keadaan huru-hara, dengan ribuan turun ke jalanan sebagai tanda protes.
Walau bagaimanapun, senario sama berlaku sekarang yang membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mencetuskan keadaan seumpama itu.
Membandingkan kedua-dua insiden itu, satu artikel dalam laman web pro-Umno Mykmu.net berhujah bahawa apa yang berlaku membuktikan bahawa Muhyiddin tidak memiliki pengaruh seperti Anwar.
“Mungkin perbandingan dua reaksi itu boleh disimpulkan sebagai Muhyiddin tidaklah terlalu hebat sangat pengaruhnya jika dibandingkan dengan Anwar.
“Politiknya, Muhyiddin ‘tewas’ di tangan Anwar,” kata penulisnya.
Menurut artikel itu, jika Anwar pun Muhyiddin tidak mampu tewaskan, apatah lagi berdepan dengan Najib dan majoriti warga Umno di seluruh negara.
“Jika bersandarkan 200-300 ketua cawangan dari lebih 20,000 ketua cawangan, dan hanya dibantah 2-3 Umno bahagian saja, apakah Muhyiddin fikir beliau terlalu besar pengaruh politiknya?
“Mungkin kerana Muhyiddin merasakan (Tun) Dr Mahathir dan anaknya (Datuk Seri) Mukhriz, serta Datuk Seri Shafie Apdal berada di kemnya maka beliau boleh memaksa Najib turun sebagaimana Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu?
Henti melatah
Sebagai ahli politik yang berpengalaman, Mykmu menasihatkan bekas timbalan perdana menteri itu supaya menjadi lebih matang dan tidak melatah yang bukan-bukan sehingga memalukan diri sendiri.
“Cuba belajar dari Allahyarham Tun Ghafar Baba dulu. Ada beliau bersikap seperti Muhyiddin? Belajarlah dari Tun, Tan Sri…,” katanya.
Mengambil contoh bekas pemimpin nombor dua PAS Mohamad Sabu, Mykmu juga berkata, adalah menjadi tradisi politik di Malaysia, mana-mana timbalan presiden yang ‘serang’ presiden selalunya tidak lama jangka hayat politik mereka.
Menurut artikel itu, apabila Anwar berseteru dengan Mahathir, “habis dikorek dan didedahkan segala kesalahan dan jenayahnya bagi mencari jalan supaya dipecat segera”.
“Sekurang-kurangnya Muhyiddin belum lagi diperlakukan sebegitu dan khabarnya beliau tidaklah sesuci mana,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan