MUAR: Penceramah luar yang ingin berceramah di Johor perlu mendapat
tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terlebih dahulu
sebelum mengadakan ceramah agama di negeri berkenaan.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah walaupun
penceramah tersebut bagus kerana pandai berhujah dan sering berceramah
di televisyen, namun apabila dia tidak diberi tauliah, pasti ada yang
tidak kena dengan pengajarannya.
"Cermin dahulu muka sendiri sebelum nasihat kepada orang lain. Kita
akan mengawal mana-mana orang daripada mengajar agama Islam tanpa
tauliah kerana ajaran sesat dan ceramah berbaur politik yang menjadi
medan untuk mengata, memfitnah dan mencaci orang lain akan hanya
mengelirukan masyarakat Islam dan meruntuhkan perpaduan rakyat," titah
baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Majlis Perasmian Tilawah al-Quran
Peringkat Negeri Johor Ke-60 di Dataran Tanjung Emas, di sini malam
tadi.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas memperuntukkan agama Islam di
bawah bidang kuasa negeri dan sultan adalah ketua agama di negeri
masing-masing. Dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895
diperuntukkan dengan jelas Sultan adalah ketua agama bagi negeri Johor
Darul Takzim.
"Tapi sejak kebelakangan ini, ada pihak yang suka mencampuri kuasa
agama di negeri-negeri sedangkan mereka hanya mempunyai bidang kuasa di
negeri masing-masing," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah amalan yang sekian lama diamalkan di Johor
seperti Maulidur Rasul, bacaan doa awal dan akhir tahun, nisfu syaaban,
bacaan Yasin dan tahlil pada malam Jumaat, membaca doa qunut dalam
sembahyang subuh, membaca talkin dan sebagainya juga dipertikaikan dan
dituduh sebagai bidaah yang membawa kepada balasan neraka di hari kiamat
kelak.
"Saya ingin mengingatkan pihak tertentu yang mempunyai pandangan
berbeza supaya tidak mencampuri urusan agama di Johor kerana perbuatan
itu akan menjadikan umat Islam keliru dan berpecah belah. Umat Islam di
Johor tetap dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Semua negeri mempunyai majlis agama masing-masing yang ada kuasa dan
tanggungjawab untuk mengawal selia serta memastikan perjalanan hal ehwal
agama Islam di negeri masing-masing supaya berjalan dengan baik,
teratur dan harmoni.
"Tidak perlulah orang luar campur tangan dan sibuk memberi ulasan seakan menunjuk pandai sangat.
"Peranan seorang mufti dalam sesebuah negeri adalah untuk mengeluarkan
fatwa dan menjelaskan mengenai hukum Islam hanya untuk negeri berkenaan.
"Duduklah diam-diam di negeri sendiri dan jangan jaga tepi kain orang lain," titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah al-Quran hendaklah ditafsirkan oleh mereka yang
pakar dan mahir dalam bidang tafsir kitab suci itu bagi mengelakkan ia
disalah tafsir sewenangnya.
"Kita mestilah belajar dengan guru agama atau alim ulama yang diiktiraf
oleh pihak berkuasa agama yang sudah menyiasat latar belakang guru dan
penceramah yang betul berdasarkan tauliah yang diberikan.
"Untuk mendalami al-Quran dan ajaran Islam, kita tidak boleh hanya
merujuk kepada Google, YouTube dan Facebook semata-mata atau menerima
bulat-bulat maklumat yang disebarkan di media sosial.
"Memang benar urusan dakwah itu boleh dilakukan sesiapa sahaja, tetapi
di Johor ini, kita ada undang-undang untuk mengawal pendakwah yang boleh
mengelirukan dan tidak sehaluan dengan cara kita," titah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan