HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Februari 2016

Beranikah peguam negara seret Mahathir ke mahkamah?



Oleh Mohd Sayuti Omar


Polis selesai mengambil keterangan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak ke atas bekas perdana menteri itu. Dr Mahathir disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Mengikut kanun ini jika didapati bersalah Dr Mahathir boleh dihukum penjara selama 2 tahun, atau denda atau kedua-dua sekali.

Dalam satu laporan Dr Mahathir berkata beliau tidak gentar dengan keterangannya dirakam polis dan akan menyatakan kebenaran di mahkamah kelak. Beliau sengaja tidak menjawab beberapa pertanyaan secara spesifik kepada pertanyaan pegawai polis yang merakam keterangannya kerana beliau ingin jelas dan nyatakan di mahkamah.

Kita berharap kertas siasatan itu disegerakan untuk diserahkan kepada peguam negara. Dan kalau boleh peguam negara segera pula mendakwa Dr Mahathir di mahkamah.


Kita mahu mahkamah mendengar penjelasan Dr Mahathir di mahkamah, kemudian hakim mengadili dan membuat keputusan apakah kritikan beliau kepada peguam negara itu tepat, relevan atau bagaimana.
Seluruh rakyat ingin mengetahui sejauh mana tatacara seseorang peguam negara itu boleh dikritik ataupun tidak.

Paling penting apakah seorang peguam negara itu mempunyai kekebalan daripada dikritik walaupun kesalahan dan tingkah lakunya jelas jelak.

Dengan adanya kes dilalui Dr Mahathir ini ia akan menjadi precedent atau kes panduan pada masa akan datang. Ia juga boleh dijadikan neraca untuk melihat sejauh mana undang-undang negara kini adil dan masuk akal?

Cuma saya sedikit kurang yakin apakah peguam negara sedia untuk mendakwa Dr Mahathir. Apakah tidak dianggap berlaku konflik kepentingan apabila kes itu membabitkan peguam negara dan dia sendiri akan memutuskan apakah ada kes atau tidak?

Atau sehari dua nanti peguam negara akan mengumumkan tiada kes berhubung tindakan Dr Mahathir mengkritiknya itu kemudian keputusan itu akan diviralkan di media sosial bagi menunjukkan keterbukaan undang-undang negara.

Kalau begitu ertinya siasatan polis terhadap Dr Mahathir itu termasuk sebahagian taktikal politik bagi menunjukkan proses keadilan dan undang-undang di negara ini telus dan adil yang kemudiannya mahu menunjukkan Datuk Seri Najib Razak perdana menteri terbaik dan tidak zalim.

Rakaman keterangan terhadap Dr Mahathir itu juga mungkin sebagai daripada strategi menakut-nakutkan rakyat negara ini agar tidak menjadi terlalu berani dalam menegakkan keadilan. – msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan: