SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berpendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan dapat bertanding dalam pemilihan akan datang untuk menewaskan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Itu tidak akan berlaku. Beliau akan dihalang sebelum pertandingan lagi," katanya yang yakin Muhyiddin tidak akan tunduk pada desakan ahli-ahli MT.
Menurutnya, desakan tersebut muncul setelah melihat Muhyiddin bertindak di luar jangkaan iaitu kembali melawan dan melebarkan pengaruh di kalangan cawangan-cawangan Umno.
"Selagi Muhyiddin masih menjawat Timbalan Presiden, gerakan beliau bertemu Ketua Cawangan adalah sesuatu yang sah dan suaranya di media juga masih laku.
"Hal ini membahayakan Najib dan kumpulannya di dalam tempoh yang tidak terlalu lama. Maka suara-suara mendesak Muhyiddin datangnya dari mereka yang bergantung survival politik dan jawatan mereka pada Najib," katanya kepada Sinar Online.
Petang tadi, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin berkuat kuasa hari ini serta merta.
[ARTIKEL BERKAITAN: Jawatan Muhyiddin digantung serta-merta]
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Universiti Selangor (Unisel), Dr Shamsinor Abdul Azzis menolak keperluan Muhyiddin menurut desakan beberapa ahli MT yang mahukan beliau meletakkan jawatan.
"Tidak perlu kerana beliau mempunyai kem sendiri. Kadang-kadang sokongan secara senyap pun banyak dan kalau lihat kepada keadaan Umno sekarang ini, boleh dikatakan hanya MT sahaja yang lebih menyokong kepimpinan Umno.
"Tapi tidak di peringkat akar umbi. Sebagai contoh sudah wujud gerakan ketua-ketua cawangan (GKCM). Jadi, saya tak rasa beliau (akan) tunduk berdasarkan desakan ahli MT itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan