KULAI - Johor dijangka menjadi pusat perubahan negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana majoriti bangsa Johor kecewa dengan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, jangkaan orang Johor akan bangkit selepas keputusan Majlis Tertinggi Umno menggantung Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti ternyata meleset.
Menurutnya, Johor bakal bersama-sama dengan Kedah, Sabah, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak untuk meneruskan perjuangan ke arah perubahan negara.
“Saya ingatkan selepas penggantungan Muhyiddin, orang Johor gagah, tapi diam kerana orang Johor memang ‘cool’.
“Bangsa Johor hanya tunggu masa PRU akan datang insya-ALLAH akan jadi satu pusat katelis perubahan negara.
“Johor goncang sikit, Kedah ada Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Sabah ada Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, saya tolong goyang Kelantan, Pulau Pinang dan Perak kita sama-sama goncang insya-ALLAH istiqamah meneruskan perjuangan perubahan negara pada PRU akan datang,” katanya pada Pidato Selamatkan Malaysia Edisi Satu di Hotel Creator, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Adun Senai, Wong Shu Qi; Bekas Ketua Pemuda Pas Pusat, Suhaizan Kaiat; Pengerusi Gabungan Selamatkan Malaysia, Mazlan Aliman dan Selebriti, Arbaiyah Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Abby Abadi.
Husam berkata, Muhyiddin dipecat dan digantung hanya salahnya menegur, sedangkan fitrah manusia menolak rasuah dan ketidakadilan.
“Muhyiddin dipecat apa salahnya? Kita manusia insan yang ALLAH jadikan fitrah yang tak nak kepada rasuah, kita bencikan pemimpin yang angkuh dan takbur.
“Fitrah kita sebagai manusia sukakan pemimpin yang boleh menerima pendapat orang lain, boleh terima tanggungjawab dan boleh menjaga majoriti rakyat, bukannya pemimpin yang mengaut keuntungan untuk diri sendiri," katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata, melihat kepada kemelut yang semakin membara dengan isu politik, sosial dan pergolakan dalaman parti pemerintah yang akhirnya beban terpaksa dipikul rakyat antara sebab program itu dilaksanakan.
Menurutnya, program yang dilancarkan di Johor itu akan meneruskan siri kedua pada 7 Mac depan bersama para cendekiawan dan tokoh akademik di Kuala Lumpur dan siri ketiga kembali semula ke negeri ini dengan penglibatan tokoh politik daripada pelbagai latar belakang Umno dan Pakatan Harapan.
“Kita memilih warna merah sebagai gambaran amarah rakyat yang bimbang dan resah dengan situasi yang sedang berlaku membabitkan pelbagai isu dalam negara.
“Insya-ALLAH Muhyiddin bersama Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memimpin perubahan dengan mengetepikan sentimen kepartian demi menyelamatkan negara kita Malaysia,” katanya.
Program yang bermula sekitar jam 9.15 malam tadi itu dihadiri lebih 500 hadirin yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum di negeri Johor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan