HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Februari 2016

EAIC: Pergerakan peronda laut bocor pada 'tonto'

MALAYSIAKINI




Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati aduan berkaitan kelemahan penguatkuasaan bagi menangani pencerobohan bot pukat kenka di dua pantai di Kuala Kurau, Perak mempunyai asas.

Berdasarkan keterangan dan analisis dibuat, EAIC mendapati terdapat kelonggaran dalam penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 dan kelemahan Jabatan Perikanan dan polis marin dalam membasmi pencerobohan dalam kawasan lima batu nautika dari pesisir pantai.

Malah, siasatan mendapati terdapat kebocoran maklumat berkenaan pergerakan bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan ke lokasi pencerobohan melalui “tonto”.

“Di samping itu terdapat kejadian di mana identiti pengadu yang membuat pengaduan atau laporan tentang kejadian pencerobohan bot-bot kenka telah dibocorkan oleh pihak-pihak tertentu kepada penguasa bot-bot kenka yang akibatnya boleh mendatangkan ancaman keselamatan diri atau harta ke atas pengadu atau nelayan-nelayan pantai yang berkenaan,” menurut EAIC.

Siasatan juga mendapati tiada tindakan tegas diambil termasuk membuat pendakwaan di mahkamah atau membatalkan lesen bot-bot berkaitan.

Menurut agensi itu, Jabatan Perikanan hanya mengenakan kompaun kepada pengusaha yang melanggar syarat lesen.

“Ketiadaan tindakan yang tegas itu telah menyebabkan pengusaha bot-bot kenka tidak terkesan dengan tindakan kerana hasil daripada tangkapan ikan di kawasan yang diceroboh adalah lebih tinggi nilainya.


Tiada ulasan: