HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Februari 2016

Alasan gantung Muhyiddin demi kaburi mata rakyat

Tan Sri Zainuddin Maidin
Tan Sri Zainuddin Maidin


SHAH ALAM –  Dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung kerana tidak menjalankan tugasnya sebagai timbalan presiden Umno adalah sengaja dibuat untuk mengaburi mata rakyat terhadap realiti yang sebenarnya.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, sekiranya tiada kepercayaan daripada parti dan presiden selain digugurkan sebagai timbalan perdana menteri, bagaimana Muhyiddin hendak menjalankan tugasnya, sebagai timbalan presiden Umno.

“Ahli parti sendiri mengetahui bahawa Muhyiddin sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa. Takkan beliau nak jadi seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.

“Itu hanya alasan (tidak menjalankan tugas) yang digunakan mengaburi mata rakyat daripada hal yang sebenarnya. Tapi kita tidak bolehlah anggap rakyat sebodoh itu untuk menerima penggantungannya yang kononnya dilakukan tanpa campur tangan perdana menteri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Zainuddin turut mempersoalkan pendirian Pemuda dan Puteri Umno yang seakan sepi dalam isu berkenaan.

“Sepatutnya mereka ke depan pertahankan tindakan menggantung Muhyiddin. Tetapi suara mereka seakan sepi. Kenapa? Adakah ini bererti mereka tidak menyokong tindakan itu?

“Pemuda dan Puteri sayap kanan Umno, tetapi mereka tidak menunjukkan pendirian tegas. Sedangkan mereka wakili golongan muda,” katanya.

Menurut Zainuddin, sikap ‘senyap’ Pemuda dan Puteri seolah-olah menggambarkan tindakan itu sebenarnya tidak mendapat sokongan penuh parti dan dakwaan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa beliau mendapat sokongan penuh parti boleh dipersoalkan



Tiada ulasan: